KUCHING, 9 Jun: Seramai 13 pempengaruh media dalam kalangan warganegara Malaysia, Indonesia, Thailand, China dan Australia mula berkampung di Betong, Sarawak untuk ‘ngabang’ ke rumah panjang daerah berkenaan, hari ini.
Program dua hari anjuran Tourism Malaysia, bermula semalam hingga 10 Jun menyaksikan pertemuan para pempengaruh daripada pelbagai negeri dan negera itu diadakan di Hotel Riverside Majestic Astana Wing.
Sebelum bertolak ke Betong, mereka telah berpeluang menikmati makan malam di medan selera makanan laut terkenal, Topspot yang merupakan salah satu lokasi makan – wajib singgah; oleh orang luar yang berkunjung ke Kuching.
Penyatuan mereka yang datang daripada pelbagai negeri dan negara termasuk dua pempengaruh media dari Sarawak itu diadakan bersempena rumah terbuka Hari Gawai Rumah Matop di Betong, hari ini.
Sambutan rumah terbuka tersebut dijangka akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Sementara, Rumah Engkeranji yang terletak di sekitar daerah Lingga akan menjadi lokasi penginapan mereka untuk merasai pengalaman bermalam di rumah panjang.
Antara inti pati aktiviti yang bakal mengisi akaun media sosial para pempengaruh ini adalah keunikan produk tempatan yang dijual di Pekan Lachau, perarakan sempena Hari Gawai dan kemeriahan pasar Serian. – TVS