KUCHING, 8 Jun: Atlet Sarawak menyumbang dua emas dan satu perak dalam acara renang di Sukan Para Asean ke-12 Kemboja pada Rabu.
Fraidden Dawan meraih pingat emas dalam acara 200 meter renang medley perseorangan manakala Rusdianto Rusmadi meraih pingat perak dalam acara yang sama.
Lebih membanggakan, Muhammad Nur Syaiful Zulkafli bukan sahaja meraih emas malah berjaya mencatatkan rekod kejohanan dalam acara renang gaya bebas 50 meter bagi perseorangan.
Kejayaan mereka turut diserikan dengan penyampaian pingat oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan timbalannya, Mohamad Razi Sitam di Morodok Techno National Stadium, Phnom Penh.
Setakat Rabu, Malaysia telah meraih 42 pingat emas, 35 pingat perak dan 26 pingat gangsa. Dari jumlah tersebut atlet Sarawak telah menyumbang 11 pingat emas, 10 pingat perak dan 7 pingat gangsa. – TVS