PETALING JAYA , 8 Jun: Seorang pemain bola sepak sebuah pasukan Liga Super ditahan polis semalam bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang wanita.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 30 tahun semalam.
Katanya, berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa pada pukul 6 pagi, kejadian itu didakwa berlaku di sebuah bilik hotel di sini.
“Pengadu mendakwa dia mengalami kecederaan di bahagian badan serta telefon bimbitnya turut dirosakkan oleh suspek.
“Hasil maklumat, polis berjaya menahan lelaki itu di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohamad Fakhrudin memberitahu, pemain bola sepak berusia 37 tahun itu telah dibebaskan dengan jaminan polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 323/ 427 Kanun Keseksaan.
Awal hari ini, seorang wanita mendedahkan di Instagram yang dia telah membuat laporan polis selepas dikasarinya oleh kekasihnya di sebuah hotel.
Wanita yang merupakan pengamal perubatan itu turut berkongsi beberapa gambarnya bersama suspek selain mendakwa dia kini trauma akibat kejadian itu. -TVS