Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nur Farrisha bersama ibunya, Wan Siah dan bapa, Hashim ketika menerima keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin di Butterworth, hari ini. Foto: Nur Farrisha Hashim

Pelajar OKU buktikan mampu raih 8A dalam SPM

ByTVS

BUTTERWORTH, 8 Jun: Pelajar orang kelainan upaya (OKU), Nur Farrisha Hashim, 18, membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Calon SPM 2022 dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mak Mandin di sini itu memperoleh keputusan 2A+, 3A dan 3A- dalam keputusan yang diumumkan hari ini. Beliau mengakui hanya meletakkan sasaran 3A.

Nur Farrisha yang tidak dapat berjalan sejak lahir akibat masalah saraf berkata, dia hanya memberikan fokus dalam pembelajaran tanpa memikirkan keputusan yang akan diperolehi.

Gadis yang terpaksa bergerak dengan kerusi roda itu berkata, dia mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah sebaik pulang dari sekolah pada setiap hari.

“Saya juga mengikuti setiap kelas tambahan selain kawan-kawan juga akan berkongsi nota sekiranya saya tidak dapat hadir kerana perlu ke hospital untuk rawatan susulan.

“Biarpun terpaksa bergerak dengan kerusi roda, saya tidak menjadikannya alasan untuk tidak berusaha dengan gigih,” katanya kepada TVS.

Anak bongsu kepada pasangan pekerja pembersihan, Hashim Ishak, 70, dan pengawal keselamatan sekolah, Wan Siah Yusoff, 65, itu berkata, kejayaan tidak bermakna tanpa dorongan kedua orang tuanya.

“Ibu dan ayah begitu banyak berkorban bagi memastikan saya dapat belajar dengan selesa dan keputusan ini adalah hadiah istimewa buat mereka.

“Mereka menghantar saya ke sekolah setiap hari tanpa lelah dan kadangkala ibu akan hantar bekal makanan ketika saya ada kelas tambahan,” katanya yang mempunyai enam adik beradik.

Menurut Nur Farrisha, dia berhasrat menyambung pelajaran di menara gading dalam bidang seni atau animasi kerana meminati bidang tersebut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan