KUCHING, 8 Jun: Masalah liputan internet sepanjang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bukan penghalang bagi seorang pelajar SMK Green Road memperoleh keputusan cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.
Muhammad Azriel Shahriel Razak yang gembira dan terharu dengan pencapaiannya, memperoleh 6A dalam sembilan mata pelajaran yang disifatkannya sebagai luar jangka.
“Masa PdPR, saya mengalami kesukaran dalam line internet di kawasan saya tetapi syukur juga ibu saya banyak membantu dan menyediakan apa keperlua saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman SPM 2022 di SMK Green Road, di sini, hari ini.
PdPR diperkenalkan ketika negara berhadapan dengan ancaman COVID-19.
Ibunya, Zainab Hassan, turut bersyukur dan berbangga dengan kejayaan anaknya kerana segala usaha dan penat lelah anaknya membuahkan hasil.
Sementara itu, berasal dari Uma Bawang, Sungai Asap Belaga, Andrian Harry Kenneth, pelajar dari Sekolah Menengah Sains Miri yang mendapat 8A+ dan 1A berhasrat untuk menyambung pelajarannya di universiti tempatan dalam bidang perubatan.
“Saya sudah menyimpan matlamat sejak dari Tingkatan 1 dahulu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM dan saya tidak menjangkakan bahawa keputusan yang saya dapat ini, adalah di luar jangkaan saya.
“Saya juga mempunyai hasrat untuk meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang perubatan,” katanya.
Senada dengan Andrian, Ahmad Farid Ridhwan Ramlan, pelajar dari SMK Matu, Daro menjadikan guru mata pelajaran ekonomi, Cikgu Yahya, sebagai inspirasi untuk berjaya dan berhasrat menyambung pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG).
“Cikgu Yahya selalu memberi kata-kata motivasi kepada kami dan dia sentiasa menyediakan bahan-bahan untuk kami walaupun di sekolah kami agak sukar, dia sangat berusaha keras untuk memastikan kami mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya. – TVS