KUCHING, 8 Jun: Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengecam tindakan seorang pelawak dari Singapura yang mempersenda tragedi MH370 dalam persembahan komediri di New York baru-baru ini.
Menurutnya, tindakan berkenaan menunjukkan tiada rasa sensitif dan empati terhadap rakyat Malaysia dan keluarga mangsa tragedi.
Tegasnya, video yang tular di media sosial itu jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya terkenal dengan adab dan tatasusila.
“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan.
“Saya berharap sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kerajaan Singapura telah memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau itu dan memutuskan untuk menarik hak kewarganegaraan Singapura wanita itu.
Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, Singapura dan Malaysia memiliki hubungan yang kukuh dan di pelbagai peringkat.
Beliau memberi keyakinan bahawa komen-komen yang dikeluarkan oleh Chia tidak akan merosakkan persahabatan akrab yang dinikmati oleh kedua-dua negara dan rakyatnya.
Terdahulu tular di media sosial satu klip video memaparkan seorang pelawak wanita dari Singapura memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Pelawak itu antaranya mengeluarkan kenyataan termasuk jenaka keterlaluan yang menyentuh mengenai kehilangan pesawat Malaysia, MH370 yang dikatakan ‘tidak mendarat’. – TVS