KUALA LUMPUR, 8 Jun: Ahli Parlimen Sri Aman mencadangkan agar hentian Rehat dan Rawat (R&R) ditambah untuk kemudahan pengguna Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak.
Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata pembinaan tiga R&R di sepanjang jajaran LPB tersebut adalah tidak mencukupi bagi menampung keperluan pergerakan pengguna atas faktor jarak perjalanan yang jauh.
“Bayangkan dari Miri-Kuching, yang sekarang ini mengambil masa sehingga lapan hingga 10 jam. Di setiap tiga jam kita berhenti adalah tak cukup. Lebih-lebih lagi semasa musim perayaan, kita tengok banyak kemalangan,” katanya ketika ditemui TVS di Bangunan Parlimen, di sini pada Khamis.
Tambahnya, pembinaan R&R ini kelak dapat membuka peluang ekonomi penduduk disekitar, memudahkan perhubungan dari satu tempat ke satu tempat serta menaikkan martabat serta status kehidupan penduduk luar bandar.
Untuk rekod, tiga hentian R&R diperuntukkan di sepanjang jajaran LPB melibatkan Jelukong di Lubok Antu, Sungai Basai di Selangau dan Sungai Semanok di Bintulu.
Buat masa ini dua R&R sedang dalam pembinaan melibatkan satu hentian di Jelukong, Lubok Antu dan satu lagi di hentian sebelah di Sungai Semanok, Bintulu – TVS