KUCHING, 8 Jun: Seramai 684 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sarawak memperolehi keputusan gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 596 calon pada 2021.
Pengarah pendidikan Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad berkata 12,464 calon memperolehi sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki pada 2022 berbanding 12,547 calon pada 2021.
“Keputusan SPM 2022 bagi Sarawak sangat memberangsangkan dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) adalah 5.07 berbanding 5.17 pada 2021 iaitu 5.17,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pengumuman keputusan SPM 2022 pada Majlis Pengumuman SPM 2022 di SMK Green Road, di sini, hari ini.
Seramai 36,525 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM Tahun 2022 di 259 pusat peperiksaan di seluruh negeri Sarawak.
Menurutnya lagi, 91.22 peratus calon layak menerima sijil SPM 2022. Ini merupakan peningkatan berbanding 88.29 peratus pada SPM 2021.
Beliau turut mengumumkan seramai 132 calon berkeperluan pendidikan khas menduduki SPM dengan 74 atau 56.06 peratus daripadanya layak memperoleh sijil SPM.
Mengulas lanjut, prestasi SPM 2022 berbanding 2021 telah menunjukkan peningkatan dan penurunan bagi beberapa mata pelajaran iaitu 38 daripada 78 mata pelajaran mencatatkan prestasi yang terbaik.
“Prestasi bagi mata pelajaran teras melibatkan mata pelajaran Pendidikan Islam sebanyak 0.23 mata, Pendidikan Moral (0.08 mata), dua (2) daripada empat mata pelajaran elektif STEM dan Kimia sebanyak 0.09 mata,” tambahnya.
Sementata itu, seramai 373,974 calon menduduki SPM 2022 pada 20 Feb hingga 15 Mac 2023 di seluruh negara dan 10,109 calon memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran dengan pencapaian lebih baik pada Gred Purata Nasional sebanyak 4.74 berbanding 4.86 pada tahun sebelumnya. – TVS