KUCHING, 7 Jun: Sarawak tampil sebagai lokasi pertama di Asia Tenggara yang berjaya membangunkan menara telekomunikasi 5G yang dijanakuasakan darıpada solar melalui sistem hidrogen yang dapat dikendalikan secara hibrid.
Kejayaan itu telah disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang melancarkan ‘Menara 5G Asia Tenggara Pertama Dikuasakan oleh Sistem Mikrogrid Solar kepada Hidrogen’ di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) di sini, pada Rabu.
Menurut Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata teknologi berasaskan ‘testbed’ itu dikuasakan sepenuhnya oleh sistem solar di tapak untuk menjana hidrogen hijau melalui elektrolisis.
Seterusnya, kata Morshidi hidrogen hijau itu akan menghidupkan sistem telekomunikasi 5G dengan sel bahan api hidrogen.
“Solar testbed ini dipasang di atas bumbung dan di atas tanah yang secara keseluruhannya mempunyai kapasiti sebanyak 425kwp dan 780 keping panel solar yang mana ia merupakan ‘rooftop solar system’ terbesar di Sarawak.
“Solar testbed ini disepadukan dengan sistem penyimpanan bateri untuk mensimulasikan ‘on-off grid operation’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023, di sini pada Rabu.
Jelasnya, testbed ini seterusnya akan memudahkan semua orang terutamanya pemain industri, memahami dengan lebih baik tentang cabaran dan keperluan dalam penggunaan sistem penyimpanan tenaga solar dan bateri untuk pengeluaran hidrogen hijau.
Pada skala yang lebih besar, kata Morshidi inisiatif testbed ini merupakan platform inovasi dengan persekitaran kerja yang sebenar.
Oleh itu, ujarnya testbed ini adalah penting untuk pembangunan program latihan untuk kekal relevan dan terkini pada setiap masa.
“Dengan latihan praktikal berkaitan testbed ini, CENTEXS menyasarkan untuk memupuk bakat tempatan dalam penggunaan solar kepada penyimpanan tenaga dan hidrogen hijau, dalam usaha Kerajaan Sarawak untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi hidrogen menjelang 2027,” ujarnya. – TVS