KUCHING, 7 Jun: Seorang pesara sebuah Syarikat Carigali berusia 69 tahun lesap RM449,200 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa seorang lelaki itu menerima panggilan telefon seorang individu yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan dan memberitahu mangsa sedang dalam pemerhatian SKMM kerana terlibat dengan fitnah pada 19 November 2022.
Beliau berkata, panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu yang kononnya pegawai polis dari Kota Kinabalu Sabah dan memaklumkan maklumat peribadi mangsa telah terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram dan aktiviti dadah.
“Mangsa telah diarahkan suspek untuk membuka akaun bank baharu di sebuah institusi kewangan di bandaraya Kuching bagi tujuan pemantauan pengaliran wang mangsa dan suspek mengarahkan mangsa memindahkan wang ASB berjumlah RM390,000 ke akaun tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azman berkata, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan baki wang di dalam akaun bank baharu miliknya dan mendapati hanya berbaki RM63.77 sahaja.
Seterusnya, mangsa telah membuat semakan dengan dua buah institusi kewangan di bandaraya Kuching dan mendapati wang berjumlah RM449,200 telah dipindahkan dari akaun bank baharu miliknya secara berperingkat ke dua akaun individu tidak dikenali antara 21 November 2022 sehingga 2 Disember 2022 yang lalu sebelum tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut pihak polis.
Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mendedahkan maklumat bank bagi mengelak ditipu dan sentiasa melakukan semakan dengan agensi berkaitan atau polis sekiranya menerima panggilan mencurigakan.
“Selain itu, orang ramai turut disarankan agar tidak mudah panik atau cemas dan takut dengan sebarang dakwaan yang dibuat ke atas diri anda jika anda tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya. -TVS