PHNOM PENH, 7 Jun: Malaysia kekal berada pada kedudukan keempat dalam carta pungutan pingat walaupun berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan Majlis Paralimpik Malaysia iaitu 33 emas pada Selasa selepas berakhir hari keempat temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023.
Emas yang ditunggu-tunggu itu disumbangkan gandingan mantap Chee Chaoming- Brady Chin menerusi acara beregu pingpong lelaki (Kelas 9- masalah keseimbangan ringan) selepas menundukkan pasangan Filipina Linard Combras dan Benedicto Hernandez di Dewan Pingpong, Stadium Nasional Morodok Techo di sini pada Selasa.
Kem renang pula menyumbang empat emas menerusi Fraidden Dawan dalam acara 100 meter (m) kuak kupu-kupu S10; Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan (100m kuak kupu-kupu S14); Rusdianto Rusmadi (100m kuak kupu-kupu S8) dan Bryan Lau dari 100m gaya bebas S14.
Manakala, kontinjen olahraga negara sekadar meraih tiga pingat emas menerusi Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi dalam acara  400m lelaki T20; Mohammad Zikri Zakaria (lontar peluru F55) dan Doriah Poulus menerusi acara lontar peluru F44.
Noor Askuzaimey Mat Salim dari pula menyumbang satu pingat emas menerusi boccia individu wanita BC4
Sumbangan sembilan pingat emas, 10 perak dan lima gangsa semalam menyaksikan Malaysia kini mempunyai 33 emas, 27 perak dan 18 gangsa. – TVS