Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Beg plastik digunakan sejak sekian lama bagi membungkus barang-barang yang dibeli di kedai. Foto hiasan: TVS

Perspektif: Caj 20 sen beg plastik ibarat curah air ke daun keladi

ByBernama

KUALA LUMPUR,  6 Jun: Pelaksanaan Kempen Tiada Plastik yang turut merangkumi pengenaan caj 20 sen bagi setiap beg plastik sekali guna dalam usaha kerajaan mengurangkan sisa plastik di negara ini, dilihat ibarat mencurah air ke daun keladi.

Rata-rata pengguna didapati tidak kisah membayar caj berkenaan apabila pergi membeli-belah, terutama di pasar raya dan pasar basah, dengan kebanyakan mereka keluar dari premis menjinjit beberapa beg plastik sarat barang yang dibeli.

Hari Alam Sekitar 2023: Pengurusan sisa plastik berkesan perlu demi kelestarian alam sekitar

Statistik sisa pepejal Kuala Lumpur dan Putrajaya mengukuhkan pemerhatian penulis. Pada 2021 misalnya, dua wilayah itu menghasilkan 101,949 tan plastik, iaitu 13 peratus daripada keseluruhan 772,349 tan sampah yang berakhir di tapak pelupusan.

Tahun berikutnya, sisa plastik dari dua Wilayah Persekutuan berkenaan meningkat kepada 210,966 tan daripada 796,795 tan sampah yang dihasilkan.

Dari segi kutipan caj 20 sen itu pula, di Selangor sahaja sebanyak RM20 juta diperoleh bagi tempoh 2020 hingga Jun 2022, iaitu RM6.6 juta pada 2020, meningkat kepada RM8.5 juta pada tahun berikutnya dan RM4.8 juta hanya untuk enam bulan pertama 2022.

Tinjauan penulis di beberapa premis termasuk gerai makanan di beberapa lokasi di Lembah Klang, mendapati penggunaan beg plastik sekali guna, termasuk untuk membungkus makanan, masih berleluasa.

 

MAMPUKAH DIREALISASI?

Peniaga warung makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Mek Yah Rahman, 67, memberitahu penulis dia memilih menggunakan beg plastik sekali guna untuk membungkus makanan kerana mudah dan jimat kos.

“Beg plastik ni ada beberapa saiz, jadi mudah Mek nak bungkus kuih atau nasi lemak. Lagipun kos sediakan beg plastik murah berbanding beg kertas, dan sebab itulah peniaga-peniaga kecil seperti kami akan gunakan beg plastik.

“Lagipun kami tidak terikat dengan undang-undang caj 20 sen setiap plastik yang dikenakan… tapi, kalau selepas ini ada larangan, terpaksalah kami ikut,” katanya yang sudah hampir 10 tahun menjual nasi lemak dan pelbagai sarapan pagi di Batu Caves, Selangor.

Sepanjang berada di warung itu, penulis mendapati kesemua pelanggan yang datang tidak membawa bekas makanan sendiri. Begitu juga pelanggan di beberapa kedai berhampiran, kesemuanya datang “berlenggang” –  tanpa beg kitar semula atau bekas makanan sendiri di tangan.

Menurut seorang pekerja di sebuah kedai serbaneka, Azreen Samsuri, 22,  kesedaran itu ada dalam kalangan masyarakat namun sikap acuh tidak acuh yang menjadi masalah utama.

Dia yang sudah tujuh tahun bekerja di kedai berkenaan, berkata pembeli juga tidak kisah membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan oleh premis itu.

“… mungkin ada yang rasa leceh nak bawa beg sendiri. Bagaimanapun saya perhatikan kebanyakan pembeli hanya minta beg plastik jika barang yang dibeli adalah banyak atau barang basah,” ujarnya.

Hal ini diakui oleh seorang pengguna, Hairulnizam Sidek, 30. Katanya dia cakna kempen itu serta bahaya sisa plastik kepada alam sekitar, namun ada masa dia terlupa membawa beg kitar semula.

“Kadang-kadang selepas kerja kita singgah di kedai untuk membeli barang keperluan dan beg kitar semula pula kita tidak simpan di dalam kereta, terpaksalah guna beg plastik,” kata pekerja syarikat logistik di Shah Alam, Selangor itu.

 

LANGKAH DRASTIK

Cakna namun tega membiarkan alam sekitar terus dicemari. Sikap sebegini menimbulkan kebimbangan penulis tentang inisiatif kerajaan dalam melindungi alam sekitar kita, khususnya laut,  yang pada masa ini menurut pakar menjadi tempat pelupusan plastik paling besar.

“Hanya 19.5 peratus sisa plastik dunia telah dikitar semula, 25 peratus dibakar dan selebihnya dibuang ke laut sebagai sampah dalam tempoh 10 tahun belakangan ini.

“Secara purata, rakyat Malaysia menggunakan 300 beg plastik setahun, dan dianggar membuang lebih 30,000 tan plastik ke laut setiap tahun. Kajian juga menunjukkan negara Asia merupakan penyumbang terbesar sisa plastik yang dilepaskan ke laut, iaitu 80.99 peratus pada 2019,” kata Prof Madya Dr Halina Misran kepada Bernama.

Jelas Ketua Makmal Nanoarchitectonic, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Tenaga Nasional itu lagi, pada 2019 sahaja dunia menghasilkan 9.54 bilion tan plastik, dan jumlah tersebut dijangka terus meningkat seiring pembangunan ekonomi dan gaya hidup penduduk.

Justeru katanya inisiatif kerajaan untuk menghapuskan sepenuhnya penggunaan beg plastik sekali guna di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara bermula 2025, adalah langkah tepat bagi mengurangkan secara drastik sisa plastik.

Plastik merupakan bahan yang sangat sukar terurai dan juga penyumbang terbesar kepada pencemaran alam sekitar serta merisikokan masyarakat kepada masalah kesihatan sekiranya sisa tersebut tidak diuruskan dengan baik, jelas beliau.

Sebelum ini, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dan merangkumi semua premis perniagaan termasuk warung dan gerai tepi jalan.

Dalam pada itu, walaupun Kempen Tiada Plastik dilancarkan pada 2018, ketika ini hanya empat negeri – Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan – paling ke depan dalam pelaksanaan kempen dengan Selangor dan Pulau Pinang paling aktif.

Pulau Pinang misalnya, menjadi negeri pertama menjalankan kempen bebas plastik iaitu bermula 2009 dengan pengenaan caj 20 sen, dan bermula Januari 2021 kadar dinaikkan kepada RM1 pada setiap Khamis hingga Ahad, manakala pada hari lain tiada beg plastik dibekalkan kepada pembeli.

 

BERI INSENTIF

Mengulas lanjut, Halina menyarankan kerajaan menawarkan insentif seperti pengurangan cukai bagi industri pembuatan dan kepenggunaan yang terlibat dalam kegiatan kitar plastik selain meningkatkan pemantauan berkala untuk memastikan pematuhan dasar sifar plastik di premis perniagaan.

Selain itu, kerajaan juga boleh menawarkan insentif kepada mereka yang membeli beg kitar semula, katanya.

“Kerajaan juga boleh memberikan insentif kepada syarikat perniagaan bergantung pada kemajuan dalam usaha mereka menyokong kempen kerajaan ke arah sifar penggunaan beg plastik.

“Usaha kesedaran perlu digiatkan secara berterusan sepanjang tempoh dua tahun ini,  khususnya di semua platform media sosial dan media massa, untuk memastikan semua pihak memainkan peranan menjayakan matlamat tersebut,” tegasnya.

Apapun usaha kerajaan, penulis melihat kejayaan inisiatif itu terletak pada bahu pengguna. Tepuk dada tanya selera. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan