SEMATAN, 5 Jun: Penganjuran kem untuk remaja Sarawak seperti Youth Communication Camp (YCC) dilihat mampu merapatkan jurang antara kaum di kalangan remaja di Sarawak.
Mengulas mengenai perkara itu Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau kagum dengan reaksi positif yang diterima dari peserta kem, sekolah yang terlibat dan fasilitator dari dalam dan luar negara yang terbabit.
Abdul Karim yang merupakan Penaung kem tersebut sejak kali pertama diperkenalkan pada tahun 2012 turut melahirkan hasrat supaya kem tersebut dapat mengumpul lebih ramai lagi remaja dari sekolah khas pada masa hadapan.

“Satu nasihat saya kepada penganjur untuk mengambil anak muda dari pelbagai sekolah khas lain seperti sekolah Cina, sekolah agama, sekolah mubaligh dan juga sekolah kebangsaan.
“Perkara seperti ini jarang kita lakukan di sekolah khas. Kalau di sekolah itu ia umpama di kampung, Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina. Melalui penganjuran kem seperti ini, mereka boleh berjumpa dan bergabung dan bercampur dengan baik antara satu sama lain.
Abdul Karim berkata demikian ketika ditemui TVS pada acara penutupan kem tersebut yang berlangsung di Putra Sentosa Retreat Camp, Sematan pagi tadi.
Anjuran Kuching Toastmasters Club, penganjuran kem tersebut adalah kali ke-11 melibatkan 250 peserta kem dari pelbagai sekolah di seluruh Sarawak dan digerakkan dengan bantuan 60 sukarelawan yang bertindak sebagai fasilitator dari dalam dan luar negara.
Tiga modul diterapkan dalam penganjuran kem tahun ini meliputi pengucapan awam, perkembangan kepimpinan dan jati diri serta pertunjukan bakat.
Antara yang hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan, ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang, Presiden Kuching Toastmasters Club, Chester Bong dan Pengerusi YCC, Sahil Singh Dev.
YCC pada tahun ini juga menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmad Zaidi Kuching menghantar 10 peserta untuk mengikuti kem yang disertai pihaknya sejak tahun 2015.
Salah seorang peserta kem yang ditemui Nur Uzma Mohammad Sidek, 17, berkata beliau teruja dan gembira apabila dapat menyertai kem itu.
Katanya, selain berkenalan dengan rakan-rakan baharu, penganjur turut menerapkan sensitiviti dan hormat- menghormati dalam menjalankan aktiviti yang dirancang.
“Sewaktu sesi perkenalan, beberapa rakan lelaki yang bukan beragama Islam tidak menghulurkan tangan kerana melihat saya bertudung tetapi memberikan isyarat hormat dengan meletakkan tangan di bahu,” katanya.
Rakan sekolahnya, Munif Akil Mohd Shaiden, 17, turut bersetuju dan berkongsi pengalaman dirinya bertukar pengetahuan mengenai agama lain di dalam bilik penginapan.
“Semalam, saya dan beberapa rakan bukan Islam bercerita mengenai agama masing-masing sebelum tidur. Dari situ, kami belajar mengenali agama masing-masing dan menghormati perbezaan agama yang dianuti,” katanya lagi. -TVS