MIRI, 5 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menghadiri Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Sarawak, di Miri, hari ini.
Ketibaan beliau pada kira-kira 10.30 pagi diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki.
Miri menjadi tuan rumah sambutan tahun ini dan Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin dipertanggungjawab dalam penganjuran sambutan tersebut bersama Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Antara pengisian programnya adalah Tayangan Video Khas ‘Dirgahayu Tuanku’ mengenai kehidupan Seri Paduka Baginda daripada hari pertama ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong.
Tun Taib turut menyempurnakan Upacara Memotong Pulut Kuning, diiringi Abang Johari sebagai simbolik Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Para hadirin dihiburkan dengan persembahan melalui tayangan video daripada Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPAN) berjudul ‘Simfoni Tuanku’ serta persembahan nyanyian dan tarian daripada Majlis Seni Sarawak (MSS).
Penganjuran majlis ini bagi menzahirkan rasa kesyukuran dan penghargaan Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari 2019.
Selepas menikmati jamuan teh, Tun Taib serta isteri berangkat pulang.
Semalam, Tun Taib serta isteri, Raghad Kurdi Taib menghadiri Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Rasmi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 Peringkat Sarawak di Masjid At-Taqwa di sini.
Tahun ini merupakan tahun kelima Al-Sultan Abdullah menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi bersama rakyat Malaysia hari ini pada 16 Zulkaedah 1444H bersamaan 5 Jun 2023M. – TVS