KUCHING, 5 Jun: Polis menahan lima suspek yang disyaki terbabit dalam kes samun sebuah kedai makan di Batu 11, Jalan Matang di sini.
Ketua Polis Daerah Padawan Superitendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata empat lelaki diberkas menerusi serbuan ke atas sebuah rumah di Jalan Arang pada 5.30 petang, Ahad.
Seorang lagi suspek diberkas pada 12.10 malam tadi di sebuah kedai makan di Jalan Abel. Menerusi kenyataan, hari ini, beliau berkata semua suspek berumur antara 34 hingga 41 tahun.
Pada 3 Jun, polis menerima satu laporan polis berhubung kes samun berkumpulan.
Menurutnya, semasa kejadian, pengadu lelaki didatangi tujuh orang yang tidak dikenali menutup muka dengan topeng dan membawa pelbagai senjata tajam serta tukul besi pada kira-kira 12.50 tengah malam.
“Pengadu bersama pekerja dan pelanggan yang lain sempat melarikan diri dan setelah kesemua suspek beredar mengunakan dua kenderaan,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata dengan tertangkapnya suspek-suspek ini telah berjaya menyelesaikan beberapa kes samun dan rompak yang berlaku di kedai serbaneka dan kedai makan sekitar kawasan Batu Kawa dan Matang.
“PDRM menyeru semua pemilik serta pengusaha kedai serbaneka atau kedai makan yang beroperasi 24 jam supaya meningkatkan tahap keselamatan persekitaran seperti menambah pemasangan CCTV disudut yang strategik, menerangi kawasan sekitar premis dan keselamatan berpagar di kaunter jualan untuk keselamatan pekerja,” katanya. – TVS