JAKARTA, 5 Jun: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai Eksesais Tentera Laut Pelbagai Hala Komodo (MNEK) 2023 di Makasar, Sulawesi Selatan.
Latihan anjuran Tentera Laut Indonesia (TNI AL) tahun ini merupakan kali ke-4 diadakan dengan disertai 36 tentera laut dari pelbagai negara.
Latihan antarabangsa ini dengan tumpuan kepada kerjasama maritim serantau, pengurusan bencana dan operasi kemanusiaan untuk mengukuhkan kerjasama antara negara sahabat.
Malaysia menghantar dua kapal perangnya, KD Kelantan 175 dan KD Kedah 171 untuk menyertai latihan ini.
Menurut Panglima TNI, Laksamana Yudo Margono, para peserta yang terlibat akan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang berguna untuk perkongsian masa depan.
“Latihan ini sekali lagi dilaksanakan sebagai platform untuk berkomunikasi antara negara yang pastinya akan memberi manfaat pada masa hadapan,” katanya.
Pelbagai aktiviti seperti International Fleet Review (IFR), International Maritime Security Symposium (IMSS), Admiral Lunch, Bilateral Meeting, dan Maritime Exhibition turut memeriahkan latihan ini.
Aktiviti khidmat masyarakat merangkumi Program Tindakan Sivik Kejuruteraan (ENCAP) dengan membina monumen MNEK di Centre Point Indonesia, Program Tindakan Sivik Perubatan (MEDCAP) menjalankan rawatan pergigian, berkhatan beramai-ramai, dan pembedahan katarak.
MNEK diperkenalkan semula tahun ini selepas tertangguh akibat COVID-19 yang melanda dunia. -TVS