SEMATAN, 5 Jun: Saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar sekolah melatih pelajar untuk membersihkan tandas seperti dilapor akhbar-akhbar utama dua hari lalu disambut baik Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam membina disiplin pelajar sekolah.
Katanya, beliau gembira apabila Perdana Menteri meminta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyemak laporan tandas sekolah yang dikatakan rosak sejak bertahun lamanya sambil menambah penggiliran dalam mencuci tandas di kalangan pelajar sekolah adalah perkara biasa suatu ketika dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu juga berharap isu tersebut tidak disensasikan ibu bapa terutama golongan yang berada.
“Pergi ke sekolah bukan sekadar untuk belajar tetapi untuk menjadi seorang yang baik dan berjaya.
“Apabila sesebuah keluarga itu sudah kaya, semuanya dilakukan oleh pembantu rumah, walhal perkara itu (mencuci tandas) mesti dilatih oleh diri sendiri sama ada kita orang kaya ataupun miskin,” katanya ketika ditemui TVS selepas penutupan Youth Communication Camp (YCC) yang berlangsung di Putra Sentosa Retreat Camp di sini, pagi tadi.
Mengulas mengenai wujud rasa tidak puas hati di kalangan ibu bapa yang menganggap perkara itu tidak masuk akal, Abdul Karim menyifatkan golongan itu sebagai golongan lupa diri.
“Sesiapa yang menjadi kaya, suatu masa dahulu pernah juga miskin. Jangan apabila sudah kaya, mencuci tandas pun diserahkan tugas itu kepada pembantu rumah,” katanya dengan sinis. -TVS