Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah bersama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus (Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak) dan Mohammad Razi Sitam (Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak) bergambar dengan penerima DSITKS. Foto: Muqri Aziz (TVS)

608 permohonan DSITKS diterima setakat ini – Fatimah

ByMuqri Aziz

MIRI, 5 Jun: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menerima sebanyak 608 permohonan bagi Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS)  mulai 1 November tahun lalu  sehingga 31 Mei tahun ini.Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 209 permohonan telah memenuhi syarat manakala 399 permohonan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Jawatankuasa Khusus akan diaktifkan, selesai isu tidak penuhi syarat

Menurutnya, sebanyak 146 pemohon telah menerima kelulusan DSITKS daripada Jabatan Premier Sarawak bagi kumpulan pertama dan kumpulan kedua pada 24 Februari 2023 dan 30 Mei 2023 masing-masing dengan tempoh sah laku selama dua tahun dari tarikh kelulusan pengeluarannya.

Dato Sri Fatimah Abdullah berucap pada Majlis Penyerahan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) Bahagian Miri. Foto: Muqri Aziz (TVS)

“Daripada jumlah tersebut dalam kumpulan pertama, sebanyak 11 orang penerima DSITKS sudah mendapat kelulusan status kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan oleh Menteri Dalam Negeri Malaysia pada 9 Mac 2023.

“Manakala lagi selebihnya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution telah berjanji akan mengumumkan keputusannya sama ada lulus atau tidak pada bulan Jun iaitu bulan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan DSITKS Bahagian Miri hari ini.

Beliau juga memberitahu rata-rata permohonan yang tidak memenuhi syarat yang diperlukan kementeriannya adalah disebabkan oleh anak serta ibu mereka tidak mendaftarkan sijil kelahiran mereka.

“Sebab itu saya selalu tekankan bahawa pentingnya mereka untuk mendapatkan sijil kelahiran dan tidak mengapa jika anak anda sudah mencecah enam tahun, daftarkan sahaja untuk memastikan permohonan DSITKS dapat memenuhi syarat yang diperlukan serta juga untuk mendapatkan kewarganegaraan menurut Perkara 15A.

“Sebagai peringatan, DSITKS adalah bertujuan khusus untuk memberi individu berkaitan akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan awam di Sarawak dan ia bukanlah satu dokumen kewarganegaraan atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia,” katanya lagi.

Fatimah berkata, kementeriannya rancak mempertingkatkan kesedaran dan advokasi mengenai isu dokumen pengenalan diri dan permohonan DSITKS serta komited untuk terus menganjur program dan intervensi sosial bersama rakan-rakan strategik bagi memberi kesedaran dan khidmat nasihat tentang kepentingan mendaftar perkahwinan secara teratur dan keperluan memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Pada program tersebut, sebanyak 12 pemohon di Bahagian Miri telah menerima kelulusan DSITKS di mana 11 orang dari Daerah Miri dan seorang dari Daerah Subis. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan