KUCHING, 4 Jun: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggang kemalangan dengan pikap di hadapan Simpang Taman Emas Batu 6, Jalan Kuching-Serian di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa Nurizaliana Mazlan, 32, yang terperosok dan tersepit di bawah pikap disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 10.18 malam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan ke lokasi kejadian.
“Pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang terperosok dan tersepit di bawah pikap, seterusnya menyerahkannya kepada pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan.
“Namun mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelas kenyataan itu.
Seorang lagi mangsa yang menunggang motosikal tersebut cedera dan tidak diketahui identiti telah dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans KKM sebelum ketibaan anggota bomba.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. – TVS