MIRI, 4 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menghadiri Majlis Kesyukuran bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Peringkat Sarawak di Masjid At-Taqwa di sini, malam ini.
Ketibaan beliau disambut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Asfia Awang Nassar.
Penganjuran Majlis Kesyukuran itu bagi menzahirkan rasa kesyukuran Al-Sultan Abdullah dari Pahang Darul Makmur ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 31 Januari 2019 berikutan Sultan Muhammad Ke-5 dari Kelantan menuruni takhta pemerintahan pada 6 Januari 2019.
Tahun ini merupakan tahun kelima Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi bersama rakyat Malaysia pada esok, 16 Zulkaedah 1444H bersamaan 5 Jun 2023.
Antara pengisian program sebaik sahaja selesai solat fardhu Maghrib berjemaah ialah bacaan Yasin yang dipimpin Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi serta tazkirah khas disampaikan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim, kemudiannya alunan Zikir Marhaban yang dipimpin Dato Ismawi Duet bersama Gabungan Kumpulan Zikir Bahagian Miri.
Sebelum jemaah menunaikan solat fardhu Isya berjemaah, bacaan doa kesyukuran dipimpin Sahibul Fadilah Dato Mustapha Kamal.
Kemudiannya, mereka menjamu selera pada Jamuan Makan Malam kira-kira jam 9.30 malam, Tun Taib serta isteri berangkat meninggalkan masjid yang diiringi Abang Johari.
Antara yang hadir adalah barisan Kabinet Kerajaan Sarawak serta 1,300 tetamu yang lain melibatkan agensi-agensi kerajaan serta komuniti Miri. – TVS