KUCHING, 4 Jun: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun maut selepas motosikal ditunggang terbabit dalam nahas jalan raya di Jalan Tun Haji Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya di sini, awal pagi tadi.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa, kemalangan sekitar jam 1.30 pagi itu melibatkan dua buah motosikal yang datang dari arah bulatan Datuk Menteri Abang Haji Mohammad Zin menghala ke bulatan Sesco.
“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami kecederaan dalaman di bahagian badan.
“Seorang lagi penunggang motosikal mengalami kecederaan parah patah di bahagian bahu dan kaki kanan kini masih menerima rawatan lanjut di HUS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Merbin berkata, hasil semakan mendapati mangsa yang maut tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala seorang lagi penunggang yang cedera parah telah tamat tempoh lesen memandu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak kurang lima tahun penjara dan denda sekurang-kurangnya RM20,000.
Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai terutamanya pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu dan sentiasa mematuhi undang-undnag jalan raya dengan memastikan pemandu mempunyai lesen memandu dan lesen kenderaan motor yang sah.
Selain itu, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya tidak memandu dengan merbahaya kerana perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja membahayakan diri, malah turut membahayakan pengguna jalan raya yang lain. – TVS