GEORGE TOWN, 4 Jun: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Astaka Seagate di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah.
Difahamkan, mangsa sedang menunggang beriringan dengan sebuah motosikal lain dipercayai sedang berlumba sambil membuat aksi ala ‘Superman’.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ dengan kereta jenis Proton Persona pada jam 4.58 pagi.
Ujarnya, kemalangan itu berlaku semasa Proton Persona yang juga dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun dalam perjalanan dari Queens Waterfront menuju ke sebuah restoran nasi kandar di Jalan Tengah.
“Semasa lampu isyarat berwarna hijau, Proton Persona membelok ke kanan sebelum dilanggar motosikal mangsa dari arah bertentangan dari Batu Maung
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta luka pada tangan kiri ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kamarul Rizal berkata, pihaknya masih melakukan siasatan sama ada terdapat unsur kegiatan lumba haram dalam kejadian tersebut.
“Pihak polis memandang berat sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas serta menasihatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, beberapa video didakwa berhubung kejadian tersebut tular di media sosial selepas dikongsikan oleh pengguna hari ini.
Rakaman terbabit memaparkan penunggang dua buah motosikal membuat aksi ala Superman secara beriringan dan melanggar lampu isyarat merah.
Sebuah kereta di laluan bertentangan dilihat membelok ke kanan sebelum dirempuh sebuah motosikal yang gagal mengelak. – TVS