KUCHING, 3 Jun: PFA Odin Sarawak gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mudah dijinakkan skuad gergasi dari selatan tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan kekalahan 1-11 dalam aksi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) 2023, hari ini.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium Perpaduan Petra Jaya itu, skuad kendalian Faizal Amri ditekan pihak lawan yang mengkucar-kacirkan kubu PFA Odin sejak wisel permainan dibunyikan.
Gawang PFA Odin dibolosi seawal minit ke-9 menerusi jaringan Caio Cesar disusuli gol Ekmal Shahrin pada minit yang sama.
Rentak garang JDT berterusan apabila merobek gawang PFA Odin menerusi jaringan Saad Sani pada minit ke-12.
PFA berjaya merapatkan jurang jaringan menerusi gol Radziman Radzuan pada minit ke-16, namun, skuad Harimau Selatan terus menambah luka skuad dari Sarawak itu menerusi tiga jaringan masing-masing pada minit ke-17, ke-19 dan ke-24.
Ketinggalan 1-6 pada babak pertama, skuad tuan rumah yang dibarisi sepenuhnya pemain tempatan itu cuba melakukan kebangkitan dengan beberapa gerakan menarik, namun ketumpulan penyudah dan disiplin tinggi pertahanan pihak lawan mengagalkan usaha berkenaan.
Sebaliknya, Harimau Selatan cemerlang melebarkan kedudukan menerusi jaringan Danial Dain pada minit ke-25, disusuli dengan jaringan sekali lagi oleh Ekmal Shahrin pada minit ke-28.
Selang empat minit kemudian, giliran Radzwil Ahmad pula mencetak nama selaku penjaring JDT sebelum Awaluddin Mat Nawi melengkapkan kemenangan besar JDT ke atas PFA Odin menerusi jaringan pada minit ke-38.
Kedudukan 11-1 kekal memihak JDT hingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan PFA Odin terus berada di kedudukan kedua tercorot kumpulan B dengan sekadar meraih lima mata selepas sembilan perlawanan.
PFA Odin yang pertama kali beraksi dalam kancah MPFL hanya mampu mencatatkan satu kemenangan dalam sembilan perlawanan yang dilalui mereka apabila menewaskan Kuala Lumpur 6-3 pada perlawanan kedua saingan MPFL.
Sebelum ini, skuad yang berpangkalan di Kuching itu dilaporkan mempunyai masalah kewangan untuk kelangsungan mereka meneruskan saki baki perjuangan dalam saingan MPFL. – TVS