LIMBANG, 3 Jun: Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) berharap agar cadangan dan permohonan untuk membina Tebingan Sungai Batu Danau dapat dipertimbangkan dan diluluskan Kerajaan Negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata, dengan adanya kemudahan seperti ini ia akan membolehkan banyak lagi acara–acara sungai yang menjadi tradisi kaum itu dapat dilaksanakan.
Katanya, kawasan Batu Danau masih memerlukan prasarana asas dan kemudahan rekreasi dan bersukan khususnya dalam menambahbaik lagi penganjuran Pesta Babulang yang memasuki edisi ke-18 tahun ini.
Menurutnya, adat budaya yang kaya dan unik yang ditonjolkan pada pesta itu mampu menarik pelancong dari seluruh dunia untuk melawat Sarawak dan Limbang khususnya.
“Kita juga berharap cadangan dan permohonan untuk membina Tebingan Sungai Batu Danau akan dapat dipertimbangkan dan diluluskan Kerajaan Negeri dalam masa yang singkat lagi.
“Ini adalah untuk membolehkan banyak acara-acara sungai yang menjadi tradisi masyarakat Bisaya dapat kita hidupkan dan bangunkan semula,” katanya ketika berucap pada Pesta Babulang dan Lumba Kerbau 2023 di Dewan Kebudayaan Kampung Batu Danau di sini, hari ini.
Paulus berkata, PBS turut menubuhkan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Masyarakat Bisaya yang bertujuan lain memulihara dan menimbulkan minat kepada budaya dan lagu-lagu tradisional masyarakat Bisaya.
“Adalah diharapkan agar aktiviti seperti ini akan menjadi tarikan pelancong dan seterusnya dijalankan sebagai satu sumber pendapatan dalam kalangan masyarakat Bisaya,” katanya lagi. – TVS