SERIAN, 3 Jun: Kaum Bidayuh Serian terutama generasi muda diingatkan supaya tidak meninggalkan adat dan budaya yang diwarisi daripada zaman nenek moyang mereka.
Ketua Kaum Kampung Munggu Kopi, Bernard Jabon berkata, tradisi serta upacara Darik Ngambet Dayung yang ‘dihidupkan semula’ melalui acara tahunan pada musim Gawai di kampung tersebut antara yang diharap mampu melestarikan adat dan budaya kaum Bidayuh Serian kepada generasi muda.
Jelas Bernard, upacara ini diamalkan oleh nenek moyang mereka terdahulu sewaktu Pesta Menuai di mana kaum wanita yang pulang melakukan kerja kampung seperti bertani, mencari hasil hutan dan menangkap ikan disambut oleh kaum lelaki dengan menghidangkan minuman.
“Setiap Gawai kami akan buat perkara yang sama untuk mengingati datuk nenek kami terdahulu.
“Ini adalah adat resam kami kaum Bidayuh di kampung ini dan acara ini dilakukan bagi memastikan generasi muda masyarakat Bidayuh Serian tahu adat dan budaya yang dilakukan golongan terdahulu sewaktu Pesta Menuai,” katanya.
Bernard berkata demikian ketika ditemui TVS pada acara Darik Ngambet Dayung bersempena Gawai Dayak Munggu Kopi @ Sigahung 2023 yang berlangsung di Kampung Munggu Kopi Serian petang semalam.
Acara bermula sekitar jam 5 petang dengan kaum wanita pelbagai peringkat umur berpakaian tradisional Bidayuh berbaris di padang bola disambut kaum lelaki yang menghidangkan minuman lazimnya minum keras kepada mereka
Antara yang hadir memeriahkan acara petang semalam, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin dan isteri Datin Yee Chooi Lin.
Acara tersebut turut disertai salah seorang bekas penduduk Kampung Munggu Kopi yang kini memeluk agama Islam Maimunah Abdullah, 60.
Katanya, perbezaan agama tidak pernah menghalang dirinya terlibat menyertai program ini lebih lima tahun lalu.
“Tidak ada masalah untuk menyertai acara ini, malah saya berbangga kerana dapat mengikut acara ini walaupun sekarang telah beragama Islam.
“Saya tidak pernah terlepas acara ini. Sebelum ini acara dijalankan tidak semeriah seperti sekarang di mana kaum perempuan boleh mengenakan pakaian tradisional Bidayuh,” katanya. – TVS