Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi (empat, kanan) menerima cenderamata disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kanan). Foto: TVS.

Kapit lalui transformasi dari segi infrastruktur dan sosio ekonomi – Nanta

KAPIT, 3 Jun: Kapit telah banyak melalui fasa transformasi dari segi infrastruktur dan juga sosio ekonomi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha ini bukanlah satu perjalanan yang mudah, mengambil kira cabaran keluasan Kapit yang sebesar negeri Pahang dan juga halangan geografi serta kehendak dan keperluan yang berbeza bagi penduduk di kawasan pedalaman ini.

“Pembukaan jalan darat ke Kapit menggantikan laluan air telah banyak membantu merubah suasana sosio ekonomi di sini,” katanya.

“Aktiviti ekonomi semakin rancak dan jalan pun semakin sesak. Saya melihat ini dari sudut positif di mana ini jelas menunjukkan infrastruktur jalan raya seperti ini memberi ‘spill effect’ positif yang bukan sedikit kepada rakyat,” katanya ketika berucap di Majlis Interaksi dan Sambutan Gawai Dayak di Dewan Suarah Kapit, hari ini.

Jelasnya lagi, usaha tersebut tidak mungkin dapat dijayakan tanpa kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Banyak lagi yang perlu dilaksanakan demi memastikan keselesaan buat rakyat khususnya penduduk di kawasan pedalaman dan ini tentunya selari dengan hasrat Malaysia Madani yang digagaskan oleh Kerajaan Perpaduan ini,” ujarnya.

Alexander berkata, sebagai Ahli Parlimen Kapit, beberapa usaha turut direncanakan bagi melancarkan lagi pergerakan dan akses sesetengah kawasan bagi penduduk di Daerah Kapit.

“Antara usaha yang diambil adalah membina jalan menyeberangi Sungai Batang Rajang di bahagian utara tebing Sungai Batang Rajang.

“Usaha ini dibuat kerana kami menyedari kesulitan penduduk yang tidak dapat bergerak keluar dan masuk ke kawasan penempatan mereka disebabkan tiada lagi perkhidmatan bot ekspres, kecuali bot persendirian,” ujarnya.

Justeru beliau berharap lawatan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ke Kapit dapat dimanfaatkan untuk beliau bersama-sama wakil rakyat yang lain mengutarakan isu tersebut.

Beliau juga percaya, pembinaan jalan baharu tersebut tentunya dapat membantu meringankan kesesakan yang berlaku di jalan utama ke Kapit, sekiranya ia dapat dilaksanakan kelak.

Dalam masa yang sama beliau juga akan memperincikan cadangan ini bersama KKDW dan Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA). – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan