KUCHING, 3 Jun: Selari dengan kepesatan era digital pada masa kini, ibu bapa diseru agar lebih celik digital dan bersikap terbuka dalam menggunakan pendekatan dan kemudahan teknologi ICT dalam mendidik anak mereka.
Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Pendidikan Islam Sarawak (LPPIS), Datu Dr Adi Badiozaman Tuah, 72, ibu bapa perlu melihat sisi positif teknologi masa kini yang pada hematnya lebih berkesan dalam konteks pengajaran dan pembelajaran anak-anak.
Ujarnya, rata-rata ibu bapa kini berdepan dengan tiga cabaran yang membelenggu mereka dalam beralih daripada mendidik menggunakan kaedah konvensional kepada baharu.
“Tiga cabaran utama yang saya lihat, pertama ialah kesediaan ibu bapa untuk menerima adanya perubahan itu iaitu adakah mereka bersikap terbuka untuk menerima bahawa cara kita dahulu sudah agak ketinggalan zaman berbanding sekarang dengan adanya kaedah, pendekatan dan juga kemudahan-kemudahan teknologi baharu ini.
“Cabaran kedua adakah ibu bapa itu mempunyai kemahuan untuk menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran baharu yang mempunyai kaitan langsung dengan penggunaan internet sebagai contohnya, pendidikan secara maya.
“Manakala yang ketiga pula ialah kalau kita lihat dalam konteks Sarawak khususnya luar bandar, kita berdepan dengan beberapa masalah dari segi kemampuan ibu bapa untuk mendapat peralatan-peralatan yang digunakan untuk pembelajaran secara dalam talian, sebagai contoh komputer,” katanya ketika ditemui TVS di kediamannya di Petra Jaya.
Mengulas lanjut, Dr Adi memberitahu, tiga cabaran tersebut merupakan penghalang terbesar yang dihadapi ibu bapa dalam mendidik anak mereka menerusi penggunaan kemudahan teknologi pada era digitalisasi ini.
Dalam pada itu, Dr Adi menggesa ibu bapa agar menerima dan memahami penggunaan gajet dalam pembelajaran anak-anak yang berfungsi sebagai didik hibur.
“Hiburan itu tidak semestinya tidak mempunyai ilmu dan tidak bermaksud bahawa ia tidak mendatangkan manfaat dalam pembentukan dan pertumbuhan watak dan jati diri seseorang anak.
“Jadi gajet yang ada itu harus digunakan kerana dalam belajar mesti ada elemen hiburannya dan dalam berhibur dia akan mendapat juga ilmu pengetahuan dan kemahiran.
“Kalau gajet ini hanya digunakan untuk tujuan mendapat ilmu pengetahuan yang kalau istilah orang muda sekarang ini dikenali sebagai tidak ‘cool’ atau ‘dry’, ia tidak akan membantu anak-anak itu untuk membesar sebagai orang yang berfikiran positif,” jelasnya.
Namun begitu, Dr Adi berkata, ia memerlukan elemen penyeliaan, kawalan dan bimbingan dari ibu bapa, keluarga, dan juga guru bagi mengelakkan timbulnya masalah sosial akibat daripada penyalahgunaan gajet.
Sehubungan itu, Dr Adi meminta ibu bapa untuk menerima perubahan dan tidak terikut-ikut dengan kaedah pengajaran zaman terdahulu yang sudah lagi tidak relevan dan tidak sesuai diguna pakai dalam mendidik anak-anak.
Jelasnya, kaedah mendidik anak harus bergerak maju seiring perubahan masa dan perkembangan teknologi. -TVS