LABUAN, 3 Jun: Seorang bapa berusia 48 tahun maut manakala dua anak perempuannya cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam gaung di Kampung Layangan di sini, malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenali sebagai Abd Rashid Bahari sementara anaknya Nur Aqeesha, 8, dan Nor Izah Batrisyah, 10, cedera dalam nahas pada jam 8 malam itu.
Ketua Balai Bomba Layangan, Huzyman Malikin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.26 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pihaknya mengalami kesukaran untuk mengeluarkan mangsa daripada kenderaan kerana kerosakan teruk pada bahagian depannya.
“Kami menyerahkan mayat mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat selesai pada jam 9.25 malam. – TVS