BANYAK yang diperkatakan dengan Perarakan Gawai Kampung Taee dekat Serian. Tidak keterlaluan jika dikatakan Gawai untuk kawasan Kuching pada 1 Jun tertumpu dengan upacara berkenaan.
Pelancong dari luar dan penduduk sekitar Kuching dan Samarahan seawal 11 pagi sudah berada di kampung Bidayuh yang terletak di tepi jalan Kuching-Serian.
Tradisi Perarakan Gawai Kampung Taee kembali setelah ditangguhkan akibat wabak COVID-19.
Pengerusi Perarakan Gawai Kampung Taee, Josh Wood, 70, berkata pelbagai persiapan rapi telah dilakukan yang memakan masa empat hingga lima bulan.
“Tahun ini agak berbeza dengan tahun sebelumnya kerana tahun ini kami menggunakan sistem dengan membahagikan kampung kepada enam zon.
“Jika kami menggabungkan semuanya dalam satu zon, maka mereka yang lain tidak akan dapat menyertai sekaligus menyerlahkan zon mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Taee pada Khamis.
Perarakan Gawai Kampung Taee pada Khamis bermula pada 1 tengah hari yang melibatkan ratusan penduduk Kampung Taee dan pelancong di dalam dan di luar negara.
Salah seorang penduduk yang terlibat dalam Perarakan Gawai Taee lebih 20 tahun, Charmmy Ladong, 58, berkata beliau ingin melihat perarakan tradisi itu dipromosikan ke mata dunia iaitu World Gawai Festival.
“Kami (Penduduk Kampung Taee) akan bertemu dan berbincang dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk membawa pelancong ke sini dan melihat suasana perarakan di kampung, bukan sahaja di bandar.
“Kami merancang ingin mengetengahkan budaya Bidayuh seperti kumang (ratu cantik), persembahan makanan tradisional dan juga minuman yang tradisi dengan perayaan Gawai iaitu, Tuak. Ini adalah semangat Gawai yang kami ingin mempersembahkan kepada orang ramai,” katanya.
Bagi seorang warga United Kingdom, Toby Normanton yang pertama kali menghadiri perarakan Gawai berkata beliau tertarik dengan tradisi dan budaya yang dibawakan orang Sarawak dan Borneo.
“Saya sukakan budaya di sini dan semua orang di sini sangat baik dan sentiasa mengalu-alukan kedatangan kami.
“Isteri saya berasal dari Sarawak dan saya juga ingin mewakili isteri saya dalam memartabatkan budaya ini sekali gus ia membuat saya menjadi sebahagian dari tradisi ini.
“Saya berharap pelancong yang lain juga akan datang ke sini untuk melihat keindahan Borneo,” katanya. – TVS