JAKARTA, 2 Jun: Malaysia masih diberi kepercayaan rakyat Indonesia untuk mendapatkan penjagaan kesihatan berkualiti sebagai alternatif untuk melengkapkan rawatan sedia ada di sini.
Ini dapat dilihat menerusi bilangan pengunjung ke reruai pameran di Ekspo Penjagaan Kesihatan Malaysia (MH Expo) di Bandung yang bermula semalam hingga 4 Jun.
Acara anjuran Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) itu merupakan peluang utama bagi pesakit Indonesia untuk menerokai perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Farizal Jaafar berkata Malaysia menjadi destinasi pilihan rakyat Indonesia untuk mendapatkan penjagaan kesihatan sejak 10 tahun lalu hingga kini.
“Kami sangat gembira melihat peminat dari Indonesia yang memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk mencari rawatan dan perkhidmatan perubatan berkualiti bagi melengkapkan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka,” katanya.
Beliau juga menambah, pada tahun lepas seramai 300,000 daripada 1.5 juta pelancong Indonesia datang ke Malaysia untuk tujuan perubatan, iaitu 60 peratus daripada pelancongan perubatan antarabangsa.
Selain bertujuan untuk mempamerkan tawaran penjagaan kesihatan yang menarik daripada 20 penyedia penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia termasuk asal Sarawak, ekspo MHX telah diadakan di Jakarta, Surabaya dan Medan.
MH Expo Bandung kali ini juga menandakan satu peristiwa penting dalam mengukuhkan industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia dan memupuk perkongsian strategik.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan Pengarah Pelancongan Malaysia di Jakarta, Junus Suhid. – TVS