Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Taman Buaya Jong yang menjanjikan pertunjukan buaya melompat mendapatkan daging ayam yang digantung. Foto: Saibi (TVS)

Penuh tepi kolam, saksi buaya terkam ‘mangsa’

BySaibi Gi

ADA yang gigih menerkam, ada yang sekadar bersidai malas di tepi kolam. Itulah gelagat buaya-buaya yang dipelihara di Taman Buaya Jong di Siburan ketika diberi makanan.

Tempat duduk di tepi kolam sudah penuh dengan pengunjung selang beberapa minit sebelum pertunjukan buaya melompat untuk mendapatkan daging ayam yang digantung di tali merintangi kolam.

Kanak-kanak kelihatan begitu seronok menyaksikan gelagat buaya yang kadang-kadang bergaduh sesama sendiri kerana ingin mendapatkan daging ayam. 

“Ini kali pertama saya datang bawa anak-anak masuk tempat ini. Ya, mereka seronok,” kata seorang pengunjung yang mahu hanya dikenali dengan nama Ah Beng ketika ditemui di Taman Buaya Jong, baru-baru ini.

Menurutnya, bayaran masuk pun berpatutan jika dibandingkan dengan kepuasan yang anak-anaknya seramai tiga orang perolehi di taman berkenaan.

Pertunjukan di kolam buaya yang dipagar itu dapat disaksikan 11 pagi dan 3 petang setiap hari. 

Selain buaya, taman berkenaan mempamerkan pelbagai spesies haiwan. 

Antaranya kura-kura, burung merak, burung hantu, rusa, monyet, babi, labi-labi, itik, kambing, musang, memerang dan bermacam-macam lagi.

Selepas menyaksikan buaya melompat, para pengunjung disajikan dengan pertunjukan memberi ikan arapaima makan di kolam berasingan.

Menurut laman web Taman Buaya Jong, ikan berasal dari Amazon dalam kolam berkenaan ada yang mencecah lebih dari tiga meter dan berat lebih 180 kilogram!

Di satu sudut, Taman Buaya Jong menyediakan muzium mini buaya.  

Pengunjung berpeluang melihat tengkorak Bujang Senang yang terkenal, antara buaya terbesar yang pernah ditangkap di Sarawak.

Dalam kalangan pengunjung, ada yang terdiri daripada pelancong dari luar negara dan ada yang dari Semenanjung. Ini bermakna Taman Buaya Jong merupakan satu tarikan pelancong domestik dan luar negara. 

Setakat April 2023, Sarawak mencatatkan jumlah kedatangan pelancong seramai kira-kira 1.3 juta berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu hanya 310,064 pelawat.

Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 turut menggariskan sektor pelancongan sebagai pemangkin kemajuan Sarawak yang bermatlamat menjadi negeri berpendapatan tinggi pada 2030.

Menjelang 2030, Sarawak menyasarkan untuk menjadi destinasi utama bagi ekopelancongan dan acara perniagaan di Wilayah ASEAN, didorong oleh komuniti yang diberi kuasa untuk memulihara warisan, budaya dan biodiversiti serta menggalakkan pelaburan dan pembangunan dalam sektor pelancongan. 

Lebih banyak produk dan aset pelancongan akan dibangunkan, disokong oleh peningkatan kesalinghubungan dan pembinaan kapasiti pemain pelancongan tempatan. 

Sarawak akan mempromosikan kebudayaan, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaan dan mempelbagaikan tumpuan pelancongan Sarawak kepada pelancongan kesihatan, pelancongan sukan, pelancongan agro dan pelancongan pendidikan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan