MIRI, 2 Jun: Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai berdekatan Rumah Magdeline, Lubok Mulong, Bakong dekat sini Rabu lalu dijumpai hari ini.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak memaklumkan mayat Agustine Ujang Stewart, 13, dijumpai tanpa kepala, tangan dan kaki – dipercayai dibaham buaya.
Mayat dijumpai pada jarak kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian pada 8.25 pagi oleh penduduk kampung.
“Menurut saksi, mangsa dijumpai dalam keadaan tidak sempurna. Mangsa dibawa oleh orang awam ke rumah keluarga mangsa untuk pengecaman oleh keluarga mangsa serta menunggu pihak bomba dan polis untuk tindakan seterusnya,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu lagi, setelah pengecaman mangsa dilakukan, operasi pencarian ditamatkan pada 12.10 tengah hari.
“Operasi diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan pasukan bomba bertolak balik ke balai,” katanya. – TVS