PADAWAN, 2 Jun: Lazimnya amalan rumah terbuka sewaktu musim perayaan sinonim dengan jamuan makan di kala berkunjung ke rumah keluarga serta sahabat handai, namun sempena perayaan Hari Gawai, Kampung Sibakar menonjolkan kelainan dengan menganjurkan rumah terbuka bagi pelancong untuk menikmati kesejukan air terjun di kampung berkenaan.
Pengunjung yang mula berkumpul di Balai Raya Kampung Sibakar seawal jam 9 pagi disambut dengan tarian etnik Bidayuh diiringi paluan gong sebelum memulakan misi ke air terjun Sibakar dan kemudiannya menjamah juadah raya yang disediakan penduduk kampung di situ setelah pulang bermandi-manda pada waktu tengah hari.
Tradisi rumah terbuka perayaan platform eratkan perpaduan – Uggah
Menurut Ketua Kampung Sibakar, Siang Rant, 52, program rumah terbuka yang berlangsung semalam itu julung kali diadakan dengan kerjasama penduduk kampung dan ia mampu melonjakkan industri ekopelancongan di kawasan terbabit yang terletak berhampiran jajaran Malaysia-Indonesia, kira-kira 65 kilometer atau satu jam setengah dari bandar Kuching.
“Dengan mendaftar dan membayar hanya RM5, pengunjung boleh memilih sama ada mahu hiking selama dua jam menggunakan jalan hutan atau ikut jalan singkat iaitu 10 minit dari balai raya ini, seterusnya mereka akan pulang mengikut jalan singkat.
“Bagi makan tengah hari, mereka dihidangkan dengan juadah rumah terbuka yang dimasak penduduk di sini menggunakan hasil pertanian dan ternakan sendiri seperti nasi yang dimasak di dalam buluh, ayam pansuh, terung asam, tempoyak goreng dan sayur midin,” katanya sambil menambah penduduk kampung yang majoritinya etnik Bidayuh itu bergotong-royong untuk menyediakan juadah berkenaan sejak 7 pagi lagi.
Tradisi rumah terbuka perayaan platform eratkan perpaduan – Uggah
Mempunyai 224 penduduk, Siang berkata kampung berkenaan sentiasa didatangi pengunjung khususnya dari bandar yang sanggup mengharungi jalan berturap tetapi berbukit untuk ke situ bagi merasai suasana hijau dan kejernihan air terjun Sibakar ketika hujung minggu dan cuti am.
Katanya, pembinaan jambatan dan lorong pejalan kaki ke kawasan air terjun Kampung Sibakar di bawah projek Transformasi Luar Bandar Sarawak (RTP) yang siap sepenuhnya pada Februari lepas memudahkan orang awam untuk beriadah di situ.
Tradisi rumah terbuka perayaan platform eratkan perpaduan – Uggah
Sambutan Gawai Dayak di Kampung Sibakar itu sememangnya memberi pengalaman unik serta baharu kepada pengunjung kerana tradisi kunjung-mengunjung atau ‘ngabang’ dalam bahasa Iban dan ‘nemi’ dalam bahasa Bidayuh sering kali dikaitkan dengan suasana di rumah panjang atau kampung sahaja.
Bagi mahasiswa Muhammad Izzat Muslim, 22, beliau pada mulanya hanya berniat memanfaatkan cuti umum dengan keindahan panorama air terjun di Kampung Sibakar, namun tidak menyangka akan membawa pulang pengalaman berharga ketika berkunjung ke situ.
Penuntut Universiti Malaysia Sarawak yang berasal dari Terengganu itu terdetik untuk ke Kampung Sibakar bersama rakan sekuliah setelah melihat hantaran menerusi Facebook milik seorang penduduk di situ yang mempelawa orang ramai untuk memeriahkan Hari Gawai di kampung berkenaan.
“Ini tahun kedua saya di Sarawak dan pertama kali menyambut perayaan Gawai dengan suasana begini kerana tahun lepas saya hanya berada di kolej, jadi ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan sebab dapat mengenali budaya tempatan dengan mata sendiri sambil menikmati keindahan alam,” katanya yang meminati aktiviti kembara.
Penduduk kampung Marin Bakong, 48, yang membuat hantaran undangan Majlis Rumah Terbuka Kampung Sibakar di Facebook memberitahu program itu mendapat sambutan yang memberangsangkan berikutan berjaya menarik seramai 60 pelawat luar.
Bagaimanapun, beliau yang juga pemandu pelancong di situ mengakui isu ketiadaan jaringan telekomunikasi dan Internet di kebanyakan kawasan kampung menyukarkan penduduk berhubung dengan orang luar dan begitu juga sebaliknya.
Memahami kepentingan jaringan Internet buat penduduk khususnya bagi pembelajaran dalam talian, Ahli Parlimen Puncak Borneo Datuk Willie Mongin yang hadir ke rumah terbuka berkenaan memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Digital telah berjanji menyelesaikan isu menara tiada perkhidmatan di Kampung Sibakar dan sekitarnya seperti Kampung Simuti serta Kampung Sadir, selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Selain itu, beliau turut menyediakan peruntukan bagi pembinaan bilik solat di balai raya itu untuk memudahkan pelawat Islam mendirikan solat ketika mengadakan aktiviti di kampung berkenaan.
“Saya juga memberikan kelulusan segera dana RM30,000 di bawah Projek Mesra Rakyat bagi menaik taraf fasiliti dewan serbaguna di kampung ini. Saya melihat kampung ini berpotensi dikembangkan dari segi produk ekopelancongannya serta mengambil kira kedudukannya yang hampir dengan sempadan Indonesia,” katanya. – TVS