MIRI, 2 Jun: Generasi muda digesa meneruskan amalan tradisi kunjung-mengunjung ketika sambutan perayaan di Sarawak yang dilihat boleh memupuk keharmonian dan perpaduan rakyat serta juga apa yang menjadikan rakyat Sarawak bersatu.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak dapat hidup aman damai dan ia terbukti jelas seperti lokasi tempat ibadat seperti kuil, gereja dan masjid yang berdekatan dan perayaan disambut oleh setiap kaum.
“Saya berharap generasi muda kita akan meneruskan tradisi yang telah ditetapkan oleh nenek moyang kita dan orang tua kita dan inilah yang akan menjadikan Sarawak terus aman dan harmoni serta baik demi kemajuan dan pembangunan Sarawak pada masa akan datang.
“Setiap orang, tidak kira dari komuniti mana mereka atau agama atau budaya mereka berasal, kita sentiasa mempunyai persefahaman dan saling menghormati dan kami meraikan perayaan seperti ini bersama-sama dengan gembira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Gawai anjuran Pengerusi Persatuan Wanita Orang Ulu Miri, Kijan Toynbee di sini, hari ini.
Katanya, tradisi seperti ini merupakan satu peluang yang baik dalam mengukuhkan kekeluargaan serta silaturahim antara masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Pada masa sama, Kim Shin juga memberitahu yang sering mengunjungi rumah Kijan itu tidak kekok untuk bertandang ke rumah terbuka kaum lain walaupun dirinya berbangsa Cina.
“Anda boleh lihat ketika Gawai, sebagai contoh, semua mereka yang datang ke sini dan meraikan Gawai bersama-sama dengan Paul dan Kijan, mereka semua daripada komuniti yang berbeza.
“Anda boleh lihat di sini daripada Orang Ulu daripada masyarakat Cina dan pelbagai lagi masyarakat di sini dan inilah semangat kebersamaan di Sarawak,” katanya. – TVS