Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Kontinjen Malaysia ke APG Kemboja 2023 Noor Syahieda Mat Shah (belakang, tengah) bersama atlet paralimpik olahraga yang akan menggalas cabaran negara di temasya Sukan Para ASEAN ke-12 di Kemboja bersemangat waja melaungkan slogan 'Demi Malaysia’ di Stadium Nasional Morodok Techo. Foto: Bernama.

APG 2023: Atlet para di landasan tepat capai 33 pingat emas

ByBernama

PHNOM PENH, 2 Jun: Kontinjen negara disifatkan berada dalam landasan tepat untuk mencapai 33 pingat emas disasarkan pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) ke-12 yang bakal membuka tirai di sini, esok, hingga 9 Jun ini.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke APG Kemboja Noor Syahieda Mat Shah melaungkan keyakinan itu selepas 144 atlet yang akan beraksi di pentas Asia Tenggara itu menunjukkan semangat luar biasa ketika fasa latihan terakhir.

Selain 33 pingat emas, 51 perak dan 58 gangsa turut menjadi buruan Malaysia menerusi 13 daripada 14 jenis sukan yang disertai pada edisi di Phnom Penh kali ini.

“Insya-Allah semua dalam landasan kerana ketika ini semangat atlet kita berada di tahap kemuncak walaupun terdapat cabaran daripada cuaca panas. Namun, kita dapat mengatasi masalah seperti itu dan mereka juga seronok berada di sini.

“Sasaran yang diletakkan kepada atlet itu amat bagus kerana sekiranya tiada, kita ini seolah-olah pergi sahaja tanpa menetapkan sasaran. Lagipun kesemua sasaran itu diletakkan mengikut data kejayaan barisan atlet,” katanya selepas upacara menaikkan bendera 11 negara yang mengambil bahagian di sini hari ini.

Beliau dalam masa memaklumkan proses klasifikasi atlet negara berdasarkan kelas dan jenis kekurangan mengikut spesifikasi yang dijalankan pihak Kemboja berjalan lancar dan kesemua mereka dibenarkan menyertai acara masing-masing.

Sementara itu, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata fokus utama kontinjen para negara ialah memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai dengan penuh bergaya.

“Alhamdullilah hari ini kita ada upacara menaikkan bendera. Saya ada mesyuarat semalam dan semua negara bersetuju untuk memberikan komitmen sepenuhnya,” katanya.

Pada edisi lepas di Solo, Indonesia, kontinjen para negara membawa pulang 36 emas, 20 perak dan 14 gangsa serta menamatkan kempen di kedudukan keempat.

Malaysia pernah muncul juara keseluruhan APG iaitu ketika menjadi tuan rumah edisi sulung di Kuala Lumpur pada 2001, yang menyaksikan kontinjen negara merangkul 143 pingat emas, 136 perak dan 92 gangsa. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan