KANOWIT, 2 Jun: Adat asal dan perayaan Hari Gawai Dayak tidak dapat dipisahkan dan perlu dipertahankan agar tidak pupus ditelan zaman.
Setiap tahun, pada 1 Jun masyarakat Dayak di negeri ini akan meraikan perayaan utama mereka di kampung halaman terutama di rumah panjang masing-masing.
Bagi penduduk Rumah Henry Duit di Nanga Sekuau, Kanowit perayaan Hari Gawai Dayak disambut meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang disusun atur mengikut tradisi  sejak dari turun-menurun.
Penasihat Gawai Rumah Henry Nyuling, Peter Nyaiyang berkata, perayaan Hari Gawai Dayak di rumah panjang Henry Nyuling dimulakan seawal 30 Mei lalu.
Katanya, program Gawai Dayak di rumah panjang seharusnya diatur mengikut tradisi asal terutamanya pada ambang dan kemuncak Hari Gawai sehingga upacara ‘Ngiling Bidai.
“Adat kami Iban terutamanya dalam program Gawai ini seharusnya diteruskan serta dipertahankan terutamanya bagi generasi baru yang akan datang agar boleh mengikut jejak langkah orang tua zaman dahulu.
“Walaupun kini orang Iban ada yang sudah mengamalkan agama baharu tetapi adat asal serta tradisi lama kita tidak boleh ditinggalkan lebih-lebih lagi dalam acara perayaan hari gawai yang bermula dengan “berpanggol’ untuk menandakan tanda kesyukuran selepas menuai padi,” katanya kepada TVS.
Hal ini, katanya patut diteruskan oleh semua generasi baharu sampai bila-bila sehingga ke anak cucu untuk memahami maksud sebenar Hari Gawai Dayak.
Jelasnya, peraturan-peraturan khas akan diumumkan kepada semua hadirin supaya perayaan Hari Gawai berjalan dengan lancar.
Untuk itu, katanya acara tersebut yang dipanggil ‘begeliga’ oleh kaum Iban adalah bagi mengelakkan gangguan, pergaduhan dan sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku sepanjang sambutan hari Gawai Dayak diadakan.