BINTANGOR, 2 Jun : Seramai 15 orang pekerja warga Indonesia tinggal sehelai sepinggang selepas rumah jenis tidak kekal yang didiami mereka musnah dalam satu kebakaran di Jalan Kelupu di sini, semalam.
Insiden kira-kira 8.50 malam itu mengakibatkan sebuah pacuan empat roda Nissan Navara dan jengkaut musnah manakala, salah seorang daripada mangsa juga dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor, Penolong Penguasa Bomba Nicholas Belulin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.56 malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Ketika bomba sampai, api masih marak. Kejadian melibatkan sebuah rumah pekerja dua tingkat yang mempunyai sembilan bilik struktur tidak kekal. Terdapat 15 orang pekerja di dalam rumah itu namun kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri.
“Kejadian tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan hanya kecederaan ringan melibatkan seorang penghuni mengalami kecederaan hanya satu peratus sahaja,” katanya ketika dihubungi TVS.
Beliau berkata, sebagai tindakan operasi, bomba menggunakan pam jentera dan sumber air terbuka dari parit dengan memindahkan aliran daripada jentera ke pam angkut.
Kejadian itu katanya, menyebabkan kediaman mangsa musnah sama sekali dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 11.59 malam.
“Setelah mendapati keadaan terkawal dan tiada lagi punca api, pihak bomba bertolak balik ke balai,” katanya. – TVS