Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Hajiji Noor (kanan) pada mesyuarat berhubung isu kecekapan pengurusan dan ketersediaan infrastruktur air di Putrajaya, hari ini. Foto: CMO.

Sabah terima RM320.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan atasi masalah air

ByTVS

KOTA KINABALU, 1 Jun: Bantuan kewangan RM320.25 juta daripada Kerajaan Persekutuan kepada Sabah akan mempercepatkan rancangan jangka pendeknya untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ia membabitkan pelaksanaan enam program merangkumi 20 projek di seluruh negeri termasuk sembilan projek di bawah rancangan daerah bagi Kota Kinabalu, Tuaran, Putatan, Papar, Beaufort, Keningau, Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.

Hajiji, diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong memberi taklimat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rancangan Sabah untuk menangani masalah bekalan air di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Mengalu-alukan keputusan pantas Perdana Menteri, Hajiji berkata, projek itu dijangka mengambil masa enam hingga 12 bulan untuk disiapkan.

Turut bersama Hajiji ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Mohd. Sofian Alfian Nair, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya, Datuk Mohd. Hanafiah Mohd. Kassim and Pengarah Jabatan Air, Suhaimi Asbullah.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Hal Ehwal Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali dan ketua-ketua jabatan dan agensi persekutuan yang berkaitan.

Hajiji turut berkongsi rancangan bekalan air berimpak tinggi jangka panjang Kerajaan Negeri, termasuk dua projek empangan di Papar dan di Upper Padas, Sipitang untuk memastikan bekalan air mampan untuk jangka panjang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa penubuhan segera pasukan petugas yang terdiri daripada kementerian negeri dan persekutuan bagi mendapatkan pendekatan holistik dan cara terbaik ke hadapan.

Pada majlis penutupan Pesta Kaamatan Negeri yang dihadirinya kelmarin, Perdana Menteri menyatakan beliau akan mempengerusikan mesyuarat peringkat tertinggi hari ini mengenai masalah bekalan air Sabah.

Menteri Besar Kelantan, Dato Haji Ahmad Yaakob dan rombongan rasminya turut hadir pada mesyuarat itu untuk memberi taklimat kepada Perdana Menteri mengenai masalah bekalan air Kelantan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan