BUKIT MERTAJAM, 1 Jun: Remaja lelaki, rakan dan ibunya ditahan polis semalam selepas remaja tersebut didapati memandu sebuah kereta tanpa lesen di Jalan Rozhan, Machang Bubok di sini.
Kejadian itu tular selepas satu video memaparkan remaja berkenaan bersama seorang rakan sekolahnya yang memandu kereta dimuat naik ke aplikasi sosial, WhatsApp semalam.
Remaja tersebut dikatakan memandu sejauh kira-kira empat kilometer sebelum ditahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Tan Cheng San, polis bertindak selepas memperolehi video terbabit kira-kira pukul 3 petang dengan menahan suspek dan ibunya berusia lewat 40-an di hadapan Flat Taman Machang Bubok di sini.
“Suspek dan ibunya ditahan bersama sebuah kereta yang disita disyaki digunakan dalam kejadian itu.
“Seorang rakan suspek berusia 13 tahun turut ditahan dan polis sedang mengesan rakan-rakannya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, polis mengeluarkan tiga saman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saman mengikut Seksyen 26(1) kerana tiada lesen memandu, Seksyen 39(1) kerana memandu di bawah umur dan ibu suspek yang juga pemilik kereta disaman di bawah Seksyen 39(5) kerana membenarkan pemandu bawah umur memandu.
“Polis menasihati ibu bapa dan masyarakat supaya jangan cuai dan lalai dengan membenarkan kanak-kanak memandu atau menunggang kerana membahayakan kanak-kanak itu serta pengguna jalan raya lain,” katanya.
Sementara itu, video berdurasi 32 saat terbabit memaparkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback berwarna hitam yang dihentikan di tengah jalan dipercayai oleh orang awam.
Seorang remaja lelaki disyaki pemandu berada di luar kenderaan, manakala seorang lagi dipercayai rakannya berada di tempat duduk penumpang belakang. – TVS