KUALA LUMPUR, 1 Jun: Misi bersama Malaysia, Indonesia dan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) untuk menyuarakan kebimbangan dan bantahan terhadap pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sebagai berjaya.
“Misi bersama itu boleh disifatkan sebagai berjaya. Aspek paling penting, terdapat keperluan untuk membuat susulan dalam memastikan perkara yang dibangkitkan dan dibincangkan diberi perhatian dan ditimbal balik.
“Walaupun Indonesia dan Malaysia tidak menjangka sebarang keputusan segera yang ketara daripada semua pertemuan ini, kedua-dua pemimpin telah memberikan mesej yang jelas mengenai kepentingan EU untuk mengambil kira kehendak mereka dan pada masa yang sama membuka laluan untuk kerjasama pada masa depan,” menurut CPOPC dalam kenyataan pada Rabu.
Misi ini diketuai bersama oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto.
Ini adalah susulan kepada keputusan yang dibuat pada Mesyuarat Peringkat Menteri Dua Hala CPOPC yang diadakan pada 9 Feb 2023 di Jakarta, Indonesia.
Indonesia dan Malaysia melihat EUDR sebagai bersifat diskriminasi dan membebankan yang bukan sahaja akan memberi impak buruk kepada perdagangan antarabangsa tetapi juga akan menghalang usaha industri minyak sawit untuk mencapai Agenda 2030 untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Kedua-dua negara telah menyatakan harapan mereka bahawa EU akan mematuhi prinsip ketelusan, tanpa diskriminasi, selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), terutamanya dalam perdagangan minyak sawit dan produknya.
“Indonesia dan Malaysia percaya bahawa EUDR tidak seharusnya mewujudkan gangguan perdagangan atau diskriminasi dari segi liputan produk dan layanan nasional,” katanya.
Walaupun negara-negara membangun terus membina sistem perdagangan pelbagai hala yang mampan, penting bahawa peraturan baharu perlu dicapai melalui pendekatan yang seimbang, inklusif dan bukan sekatan perdagangan, katanya.
Libat urus positif
Misi bersama itu telah mendapat penglibatan yang positif daripada pelbagai pemimpin Suruhanjaya dan Parlimen EU. Pertemuan telah dijalankan secara mesra, berterus-terang dan terbuka.
Para pemimpin mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif (EVP) Frans Timmermans, Perjanjian Hijau Eropah dan Pesuruhjaya Dasar Tindakan Iklim Josep Borrell-Fontelles, Wakil Tinggi Kesatuan Eropah untuk Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan Virginijus Sinkevičius, Pesuruhjaya Alam Sekitar, Lautan dan Perikanan, Ahli Parlimen Eropah (MEP) Heidi Hautala.
Mereka turut menemui Naib Presiden Parlimen Eropah dan MEP Bernd Lange, pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa (INTA), apabila pemimpin Jakarta dan Putrajaya menekankan impak daripada EUDR terhadap rantaian nilai dan sentiasa menekankan keperluan untuk EU bekerjasama dengan negara-negara pengeluar di peringkat kerja dan teknikal.
“Terdapat juga keperluan untuk mewujudkan libat urus rundingan oleh kedua-dua pihak untuk membincangkan cara dan saluran pelaksanaannya.
“Isu yang perlu diselesaikan termasuklah penyertaan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, penerimaan skim pensijilan mampan negara sebagai rujukan kepada garis panduan pelaksanaan, penjelasan teknikal mengenai sistem penanda aras, geolokasi, kesahan dan kebolehkesanan,” katanya.
Menurut CPOPC, misi bersama itu berharap untuk mendapat respons positif terhadap isu dan kebimbangan di atas terutamanya mewujudkan pasukan petugas bersama.
Kedua-dua pemimpin menegaskan mengenai keperluan isu ini yang perlu diselesaikan berdasarkan impaknya.
Kedua-dua negara menekankan bahawa berkaitan dengan sistem penanda aras negara yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Eropah, melabelkan sesebuah negara sebagai berisiko tinggi, standard dan rendah memberi implikasi terhadap kedaulatan dan imej sesebuah negara.
“Oleh itu, EU perlu mempertimbangkan dengan teliti dan peka mengenai kesannya. Indonesia dan Malaysia menggesa EU untuk memastikan Indonesia dan Malaysia adalah negara berisiko rendah,” katanya.
Pertemuan dengan pihak berkepentingan minyak sawit, wakil industri dan organisasi masyarakat sivil di Eropah turut diadakan serentak semasa lawatan ke Brussels. Para pemimpin memberi taklimat kepada pelbagai pihak berkepentingan mengenai tujuan lawatan ini dan hasil pertemuan dengan pemimpin EU. – TVS