PETALING JAYA, 1 Jun: Juara kategori remaja Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2023, Nur Hazirah Ramli mendedikasikan kejayaannya kepada seluruh rakyat Sarawak yang menyambut Hari Gawai hari ini.
Pemain yang berasal dari Kuching itu berkata, dia berpuas hati kerana berjaya menebus kekalahan pada Kejohanan Boling Terbuka Filipina, dua minggu lepas yang menyaksikan dia sekadar muncul naib juara.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Green Road itu bagaimanapun mengakui laluan untuk bergelar juara hari ini tidak mudah apabila menerima saingan sengit daripada pemain Singapura dan rakan sepasukannya.
Tamat permainan pertama, Nur Hazirah yang menjatuhkan 204 pin ketinggalan di tempat keempat malah catatan 189 pin pada permainan kelima menyebabkan dia ketinggalan di tempat keenam.
“Selepas melakukan 300 pin pada perlawanan keenam, saya menyedari ada peluang untuk menamatkan saingan pada kedudukan podium.
“Saya rasa lebih tenang pada dua permainan terakhir kerana sudah mula berasa selesa dengan keadaan lorong manakala jurulatih pula meminta saya menikmati permainan terakhir,” katanya kepada TVS.
Pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 itu mengumpul 1,791 pin menewaskan Nur Irdina Hazly dari Singapura yang menjatuhkan 1,684 pin makala seorang lagi wakil Malaysia, Adelia Nur di tempat ketiga.
Seorang lagi pemain Sarawak, Lavinia Kho pula menamatkan cabaran di tempat keenam.
Selaku juara, Nur Hazirah membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan trofi.
Sementara itu, kategori lelaki turut menyaksikan penguasaan Malaysia apabila Muhammad Daniel Abu Samah muncul juara.
Malaysia turut menguasai tempat kedua dan ketiga menerusi Ridhar Rahman Riza Abdillah dan Muhammad Hariz Adlan.
Pemain Sarawak Ethan Damien Goh pula menduduki tempat keempat. -TVS