KUCHING, 1 Jun: Perayaan Hari Gawai Dayak merupakan platform untuk mengeratkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sambutan Gawai yang meriah mempamerkan toleransi tinggi dalam kalangan rakyat yang juga berbilang agama.
“Setelah kian lama dunia dilanda pandemik COVID-19, akhirnya komuniti setempat dapat bersatu dengan keluarga dan balik kampung dalam kemeriahan sambutan Hari Gawai.
“Sempena perayaan ini, kita harap masyarakat di Malaysia dapat menggunakan peluang ini untuk mengeratkan silaturahim antara satu sama lain,” katanya.
Beliau ditemui pada Rumah Terbuka Gawai Dayak di kediaman Pengerusi Yayasan Tun Jugah, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Tun Jugah di sini, hari ini.
Majlis berkenaan dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Turut serta, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.
Nanta berkata lagi, penyertaan masyarakat Dayak bersama kaum lain dalam pembangunan negara amat penting untuk memastikan matlamat sebagai negara maju tercapai.
“Perpaduan adalah unsur yang penting untuk diraikan, malah menjadi teras ke arah usaha negara mencapai kemajuan berterusan demi masa hadapan,” katanya. – TVS