KUCHING, 1 Jun: Pengalaman yang sangat berharga. Itu yang dicari seorang warga Johor, Yuwanis yang sanggup datang ke Kuching untuk merasai sendiri pengalaman menyambut Hari Gawai Dayak.
Menurutnya, sebelum ini beliau hanya mengetahui bagaimana perayaan Gawai Dayak disambut melalui bahan bacaan.
“Ya, saya ada saudara di sini, dia juga orang Sarawak dan mereka sambut Hari Gawai, jadi saya semata-mata datang sini sambut Hari Gawai.
“Sebenarnya saya tengok rakyat Sarawak sangat baik hati. Mereka selalu senyum, dan saya sangat suka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Majlis anjuran para pemimpin Dayak diketuai Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu, dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, bagi Noorarfiza yang merupakan anak jati Kuching, menyambut perayaan bersama sudah menjadi perkara biasa untuk rakyat Sarawak.
Katanya, kebersamaan ini adalah sebagai satu tanda sokongan kepada rakan-rakan yang berbilang kaum dan agama.
“Kita di Sarawak mempunyai pelbagai perayaan yang kita sambut sebagai contohnya Hari Gawai. Kita sama-sama menyokong perayaan kawan-kawan kita.
“Bagi saya, ia sebagai tanda sokongan dan kita tahu, di Sarawak ini kita memang hidup dalam keadaan yang harmoni,” ujarnya. – TVS