Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dianggarkan 3,500 dari setiap 10,000 kematian pada setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan rokok. Foto: KKM

‘Utamakan Makanan, Bukan Rokok’

ByLuqman Muhammad

KUCHING, 31 Mei: Tembakau boleh mendatangkan ketagihan kepada pengguna dan telah membunuh separuh daripada penghisapnya, meskipun ia merupakan bahan yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pejabat Kesihatan Daerah Belaga, Dr. Noor Baizura Jamali berkata, ini kerana asap rokok mengandungi 4,000 bahan kimia beracun dan lebih kurang 63 dari bahan kimia tersebut boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti barah Penyakit kardiovaskular (CVD).

Utamakan makanan, bukan rokok

“Ia berkait terus dengan masalah kesihatan seperti masalah sistem penafasan, kanser dan juga jantung.

“Lebih kurang 50 peratus lelaki di Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas adalah perokok dan daripada jumlah tersebut 20 peratus daripadanya adalah golongan remaja,” kata Dr. Noor Baizura ketika dihubungi TVS di sini, hari ini sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia (World No Tobacco Day 2023).

Menurut Dr. Noor Baizura, dianggarkan 3,500 dari setiap 10,000 kematian pada setiap tahun di Malaysia adalah berkaitan dengan rokok.

Dalam pada itu katanya lagi, kesan penanaman tembakau terhadap persekitaran juga merupakan masalah yang sukar untuk diatasi.

Ini kerana katanya, dianggarkan 200,000 hektar hutan dimusnahkan pada setiap tahun seterusnya menyumbang kepada peningkatan suhu dunia.

“Tanaman tembakau juga akan menyebabkan nutrien di dalam tanah semakin merosot dan sekiranya ia diteruskan, ia akan merosakkan tanah serta menyebabkan tanah bertukar menjadi seperti padang pasir, ini berlaku di Brazil dan India.

“Apabila tanah rosak usaha untuk membaikpulih tanah perlu melibatkan kos yang tinggi hanya kerana pertanian tembakau selama setahun,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut Dr. Noor Baizura berkata, puntung rokok pula merupakan sampah terbanyak yang dibuang merata-rata tempat.

Katanya, berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan sebanyak 4.5 trilion puntung rokok tidak dibuang dengan cara yang betul pada setiap tahun.

“65 peratus perokok membuang puntung rokok merata-rata tempat.

“Rokok juga dikenalpasti penyebab kebakaran termasuk kebakaran hutan, kemerosotan kualiti udara dan juga kehilangan harta benda (tanaman, haiwan dan nyawa manusia,” tegas Dr. Noor Baizura.

Dr. Noor Baizura berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) juga ada menawarkan perkhidmatan ‘Berhenti Merokok’ yang telah diwujudkan sejak sekian lama di fasiliti kesihatan.

“Ia terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berazam untuk berhenti merokok dan kepada sesiapa yang ingin berhenti merokok anda boleh ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan bantuan dari warga kerja KKM,” katanya lagi.

Sambutan Hari Tanpa Tembakau diadakan pada 31 Mei setiap tahun. Pada tahun ini tema bagi sambutan adalah ‘Utamakan Makanan, Bukan Rokok’.

Oleh itu, KKM menyeru supaya perokok tanamkan azam untuk berhenti merokok dan dapatkan bantuan daripada fasiliti kesihatan terdekat.

Untuk mereka yang tidak merokok, kekalkan amalan tidak merokok untuk mencapai sasaran generasi bebas tanpa sebarang bentuk amalan merokok.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan