KUCHING, 31 Mei: Tiga kereta mewah turut musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Sungai Apong Baru di sini, pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak berkata sebuah kereta Toyota Alphard, sebuah Nissan GTR dan sebuah Toyota Tank musnah 100 peratus.
Tujuh penghuni rumah dua tingkat itu dilaporkan selamat.
“Penghuni berjaya keluar dari kawasan kebakaran sebelum ketibaan bomba dan kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Bomba menganggarkan rumah dua tingkat itu terjejas kira-kira 45 peratus akibat kebakaran itu.
Bomba menerima panggilan pada 3.46 pagi dan operasi pemadaman selesai pada 5.15 pagi.
Operasi pemadaman dilakukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya dan Padungan. – TVS