PENAMPANG, 31 Mei: Sudah menjadi tanggungjawab generasi kita pada masa ini untuk melaksana apa yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata ini kerana MA63 merupakan sebuah perjanjian dan ikrar yang telah dimeterai pemimpin-pemimpin negara terdahulu bagi membentuk negara bernama Malaysia, justeru menjadi tanggungjawab generasi kita pada masa ini melaksana MA63 dengan setia dan ikhlas.
“Saya tidak bimbang (mengenai MA63) kerana sejak ambil alih kerajaan, Kerajaan Perpaduan ini antara keutamaan kita selesaikan masalah merundung negara kita berpuluh tahun, tiap kali saya ke Sabah tidak habis dengar masalah pelaksanaan MA63.
“Enam bulan (ambil alih kerajaan) alhamdulillah, syukur kerana kerjasama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan pasukan negeri serta Persekutuan, saya minta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pengerusikan, hampir keseluruhan permasalahan itu selesai dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Pesta Kaamatan 2023 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan turut hadir Hajiji; Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Pesta Kaamatan 2023 dan Presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Sementara itu, Anwar berkata dasar Malaysia MADANI dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja bermatlamat untuk mengangkat Sabah dan Malaysia dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi dan pendidikan, tetapi dalam masa sama ‘mengakar’ budaya serta tradisi tersendiri.
“Kita ada cita-cita dalam Malaysia MADANI, menjadikan Sabah dan Malaysia negara unggul, hebat ekonominya kuat tahap pendidikan dan teknologinya tetapi tetap mengakar ke akar budaya tradisi kita sendiri.
“Menghormati bukan sahaja menghormati toleransi tetapi menghormati apresiasi ada kekuatan, kehebatan, keindahan masing-masing lihat kepelbagaiannya, budayanya. Apa hebatnya manusia kalau tiada sifat manusiawi, sifat insaniah saling mencintai kepelbagaian satu sama lain,” katanya.
Justeru, katanya Kerajaan Perpaduan pada masa ini bersungguh-sungguh mahu meyakinkan rakyat bahawa ini adalah fasa baharu Malaysia yang mahu memenangkan semua rakyat yang bernaung di bawahnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri dalam majlis itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk KDCA melaksanakan pelbagai aktiviti persatuan itu dan masyarakat tempatan terlibat. – TVS