MIRI, 31 Mei: Program Larian Bersama Bomba 7.0 anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri pada tahun ini akan diadakan pada 9 September di Marina Central Park Miri.
Ketua JBPM Zon 6 Miri, Ismaidi Ismail berkata, pihak mereka menyasarkan penyertaan seramai 2,000 peserta untuk program ini, berbanding tahun lepas dengan penyertaan sekitar 1,000 peserta.
“Sasaran kita pada tahun ini adalah seramai 2,000 penyertaan yang mana program ini akan diadakan pada 9 September. Jadi kita berharap dengan Majlis Soft Launch Larian Bersama Bomba 7.0 Tahun 2023 ini, kita akan mulakan gerakan untuk memastikan program ini dapat diadakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Soft Launch Larian Bersama Bomba 7.0 Tahun 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng pada hari ini.
Tambahnya, hasil kutipan dari larian ini akan disumbangkan kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bekenu pada tahun ini.
“Kita juga berharap masyarakat di Miri dapat memberi sokongan kepada program ini yang salah satu tujuannya untuk menyumbangkan hasil daripada program ini kepada badan kebajikan iaitu Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bekenu. Jadi berlari sambil menyumbang kepada PPDK Bekenu,” katanya lagi.
Beliau juga menggalakkan penyertaan bukan sahaja dari Miri, tetapi juga dari negeri Sabah dan negara Brunei Darussalam untuk program larian ini.
Program larian ini terbahagi kepada dua kategori iaitu larian empat kilometer (km) dan 12 km dengan titik permulaan dan tamat di Marina Central Park Miri. -TVS