Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Foto: MIPD.

Nikmat pembangunan, balik kampung sambut Gawai kini lebih selesa dengan adanya jalan raya

BySaibi Gi

KUCHING, 31 Mei: Mereka yang balik kampung bagi meraikan Hari Gawai Dayak di beberapa kawasan yang dahulunya cuma dapat diakses menggunakan pengangkutan sungai kini boleh menggunakan jalan raya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penduduk di kawasan seperti Sibu, Kapit, Sarikei, Bintulu dan Marudi kini tidak lagi bergantung dengan perkhidmatan bot ekspres. 

Nikmati kemudahan jalan raya ketika Gawai

Menurutnya, perkembangan berkenaan merupakan antara hasil pembangunan yang dilaksanakan kerajaan dalam tempoh 60 tahun Sarawak merdeka.

“Menjelang 2025, Sarawak akan mempunyai sistem rangkaian jalan raya yang lebih baik. Selain Lebuhraya Pan Borneo, kerajaan negeri GPS (Gabungan Parti Sarawak) sedang melaksanakan projek Jalan Penghubung Kedua dan Jalan Pesisir dengan kos keseluruhan RM11 bilion. 

“Pakej itu termasuk 11 jambatan berharga RM4 bilion. Semua ini dijangka siap menjelang 2025,” katanya menerusi perutusan sempena Hari Gawai Dayak.

Sarawak yang kini melalui transformasi besar, menyaksikan pembangunan sosioekonomi susulan pelaksanaan projek berkaitan telekomunikasi, kesihatan dan pendidikan.

Malah, kadar kemiskinan telah menurun daripada 47.8 peratus pada tahun 1976 kepada sembilan peratus pada 2019.

Dari aspek utiliti, 97 peratus kawasan sudah dibekalkan dengan elektrik dan bekalan air bersih 67.2 peratus di kawasan luar bandar.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata lagi, selain itu, di bawah Projek Rakyat, kementeriannya diamanahkan untuk melaksanakan 229 projek dengan kos keseluruhan RM9.06 bilion.

Ia terdiri daripada 121 projek jalan raya, 50 jambatan, 53 bangunan, empat jeti dan Lapangan Terbang Bebuling Spaoh yang menelan belanja RM296 juta. 

Daripada 229 Projek Rakyat, 98 projek atau 43 peratus telah siap, 53 projek dalam pembinaan (23 peratus) dan 78  projek (34 peratus) kini di peringkat pra-kontrak.

“Setelah siap pelaksanaan, ia akan memangkin pertumbuhan ekonomi dan menaik taraf kehidupan rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, pembinaan projek Jalan Penghubungu Sabah/ Sarawak (SSLR) Fasa 1 telah bermula. Ini akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak yang tinggal berhampiran sempadan Sabah.

Pembinaan jalan sepanjang 398 kilometer itu dibahagikan kepada empat fasa dan akan menghubungkan Miri, Limbang dan Lawas. Sehingga April 2023, pembinaan SSLR Fasa 1 mengikut jadual dan dijangka siap pada Januari, 2026.

Mengenai penyelenggaraan jalan raya, beliau memaklumkan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menubuhkan Unit Penyelenggaraan Jalan Luar Bandar untuk memantau dan memudahkan penyelenggaraan.

“Ini adalah isu penting terutamanya semasa musim hujan. JKR telah memilih kawasan Baram untuk memulakan projek perintis ini,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan