KUCHING, 31 Mei: Kerajaan Sarawak optimis bakal memperkasakan empat sumber tenaga boleh diperbaharui iaitu tenaga hidro, gas, solar dan hibrid (solar dan angin) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penyelidikan mengenai perkara itu masih dijalankan dan beliau yakin Sarawak Energy Berhad (SEB) akan menjadi penjana tenaga utama di rantau ini.
Katanya, hal ini kerana Sarawak mempunyai sumber yang mencukupi dan adaptasi teknologi terkini selain kemampuan dalam menyesuaikan diri dengan teknologi baharu.
“Saya kini mendapat maklumat daripada Shell, kerana Shell adalah syarikat pertama yang menggunakan tenaga hibrid solar dan angin di platform Timi mereka yang dijana oleh mereka sendiri.
“Saya rasa ia boleh ditingkatkan lagi melalui teknologi baharu dari segi bilah yang akan menghidupkan turbin dan perkara ini sedang diusahakan, berkemungkinan jika anda mempunyai bilah komposit ini, kita tidak memerlukan angin yang kuat untuk menggerakkan bilahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Vendor Sarawak Energy Berhad (SEVA) 2023 di sini, malam tadi.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi.
Sementara itu, Abang Johari berkata, SEB memerlukan lebih banyak vendor tempatan yang akan sentiasa berperanan membantu syarikat berkenaan dalam penyesuaian terhadap teknologi baharu.
“Inilah yang berlaku kepada Petronas di mana apabila Petronas beroperasi di luar negara, vendor juga mengikuti Petronas kerana terdapat keserasian di antara syarikat utama dan juga vendor.
“Jadi itulah sebabnya, apabila kita menyusun strategi pembangunan berkaitan sumber tenaga, adalah baik kita mengadakan program yang mempunyai budaya tersebut dengan sektor swasta, SEB dan vendor,” katanya.
Tambah Abang Johari, dengan mempunyai vendor yang berpengalaman, ia akan menjadi lebih mudah untuk mengintegrasikan kos yang diperlukan dan menyusun strategi pendekatan, selain mempunyai kuasa yang juga penting dalam ekonomi. – TVS