KUCHING, 31 Mei: Polisi Kerajaan Sarawak yang tidak meminggirkan mana-mana kaum dan agama membuktikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg seorang pemimpin untuk semua kaum dan agama.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang berkata demikian, menambah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 inisiatif Abang Johari turut menggariskan keterangkuman sosial sebagai tonggak utama.
“Ini bagi memastikan tiada sesiapa atau mana-mana masyarakat akan terpinggir daripada menikmati hasil pembangunan. Ini pastinya bukan retorik semata-mata, seperti yang didakwa oleh golongan sinis dan pesimis tetapi telah dan sedang dilaksanakan dan diamalkan serta manfaatnya sudah dirasai,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Gawai Dayak yang diraikan pada 1 Jun.
Menurut Uggah lagi, keterangkuman polisi Abang Johari dalam aspek agama turut dibuktikan menerusi peruntukan untuk Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM100 juta bagi tahun ini.
“(Abang Johari juga) menubuhkan sembilan agensi pembangunan, merangkumi semua wilayah yang memanfaatkan semua kaum. Setiap agensi diperuntukkan RM1.5 bilion,” ujarnya.
Jelasnya, masa depan akan menjadi sangat mencabar dengan kemunculan teknologi digital baharu, justeru, beliau merayu kepada semua masyarakat Dayak supaya menjadikan sambutan Hari Gawai sebagai peluang untuk mengeratkan lagi perpaduan antara semua kaum.
Antara cara yang terbukti mampu mengeratkan perpaduan ialah dengan mengunjungi rakan-rakan ketika perayaan kaum dan agama seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Gawai, Krismas dan sebagainya.
“Marilah kita teruskan tradisi ‘Ngabang’ atau rumah terbuka antara satu sama lain untuk menyebarkan muhibah, keharmonian dan yang paling penting, perpaduan kita,” katanya.
Beliau mengajak rakyat agar terus bersatu padu dan menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam pelbagai program ke arah membangunkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Dalam masa sama, Uggah mengajak rakyat agar bersyukur dan berterima kasih atas segala usaha kerajaan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Kepada mereka yang pulang atau keluar rumah sama ada melalui jalan raya atau sungai meraikan Hari Gawai Dayak, sila ambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu supaya anda dan keluarga selamat sampai ke destinasi.
“Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Gawai Dayak kepada semua Dayak. Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menoa,” katanya. – TVS